BERITA SEMASADALAM NEGERI

Pelancong China maut lemas di Perairan Pulau Perhentian

BESUT – Percutian seorang wanita warga China bertukar tragedi apabila beliau ditemukan lemas ketika berenang seorang diri di perairan Pulau Perhentian, semalam.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Azamuddin Ahmad @ Abu memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu melalui Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut.

“Siasatan awal mendapati mangsa, berusia 33 tahun, tiba di negara ini pada 3 Jun lalu dan menginap di sebuah hotel di Pulau Perhentian bersama sepupunya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, mangsa dilaporkan sedang bersantai bersama sepupunya di tepi pantai sebelum mengambil keputusan untuk berenang seorang diri sekitar pukul 11 pagi. Bagaimanapun, selepas lebih 30 minit, mangsa tidak kembali ke daratan.

“Sepupu mangsa mula menyedari kehilangannya dan memulakan pencarian sebelum orang awam menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri berhampiran kawasan berbatu pada pukul 11.30 pagi,” jelasnya.

Mangsa kemudian dibawa ke tepi pantai oleh orang awam sebelum pihak polis dimaklumkan mengenai kejadian.

Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah akibat lemas dan siasatan lanjut tidak menemukan sebarang unsur jenayah.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Azamuddin menasihati orang ramai mengutamakan keselamatan ketika menjalankan aktiviti air dan mematuhi semua garis panduan yang ditetapkan.

“Orang awam juga diingatkan agar tidak menyebarkan spekulasi atau maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan pihak berkuasa,” tegasnya.

Sebarang maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan boleh disalurkan ke IPD Besut di talian 09-6956222.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button