
Kes HFMD meningkat mendadak di Kelantan
KOTA BHARU – Kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di negeri ini menunjukkan peningkatan mendadak apabila sebanyak 4,591 kes dilaporkan dari 1 Januari hingga 5 Mac lepas.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, angka itu adalah 10 kali ganda daripada jumlah kes direkodkan dalam tempoh sama, tahun lepas.
“Sebanyak 4,591 kes HFMD dicatatkan di negeri ini bermula Januari hingga 5 April lalu dan jumlah itu meningkat 10 kali ganda bagi tempoh sama tahun lalu,” katanya kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Hari Raya Aidilfitri Wellness Hub Kelantan di Pengkalan Chepa, di sini hari ini.
Sehubungan itu, katanya, pihak kesihatan negeri telah mengarahkan penutupan sementara 43 premis pusat asuhan dan tadika sementara bagi langkah penjagaan serta sanitasi sebelum kembali beroperasi.
Penyakit ini umumnya merebak dalam kalangan kanak-kanak dengan munculnya bintik-bintik merah pada kulit dan ruam selain demam ringan.
Tambahnya, walaupun berlaku peningkatan kes, trend jangkitannya adalah mendatar dan tidak dipengaruhi pergerakan keluar masuk perantau ketika Ramadan atau Syawal.
“Bagaimanapun, langkah pencegahan tetap dijalankan dan tahap kebersihan perlu diambil berat terutama ibu bapa dan penjaga di tadika serta pusat asuhan kanak-kanak,” katanya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |