Berita Semasa

Kertas siasatan warga emas tampar lelaki dirujuk ke TPR sebelum Jumaat

ISKANDAR PUTERI – Kertas siasatan mengenai insiden seorang warga emas menampar lelaki bukan beragama Islam di sebuah kedai serbaneka dalam pusat beli-belah di Johor Bahru akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) selewat-lewatnya Jumaat ini.

Menurut Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar, pihaknya sudah merakam percakapan seorang lelaki warga tempatan berusia 65 tahun semalam, bagi membantu siasatan.

“Mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun, (juga) telah dibawa ke hospital untuk pemeriksaan, manakala suspek serta beberapa saksi, termasuk anaknya, sudah dirakam percakapan.

“Doktor yang merawat mangsa juga akan dirakam percakapan. Kertas siasatan akan dirujuk kepada TPR sebelum Jumaat ini,” katanya dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, di sini hari ini.

Laporan media sebelum ini menyebut, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahinder Singh sebagai berkata, mangsa telah membuat laporan mengenai insiden tersebut pada pukul 9.08 malam, kelmarin.

Katanya, mangsa mendakwa ditampar dua kali pada pipi kanan oleh seorang lelaki tidak dikenali selepas suspek bertanya mengenai agamanya dan meminta MyKad miliknya.

Menurutnya, keengganan mangsa menyerahkan kad pengenalannya menyebabkan berlaku pertengkaran sebelum dia ditampar.

Kumar dalam masa yang sama turut meminta orang ramai supaya berhenti mencetuskan spekulasi berhubung insiden berkenaan kerana boleh menggugat keamanan dan keharmonian.

“Insiden ini adalah kes terpencil dan jarang berlaku. Masyarakat berbilang kaum di Malaysia sangat mengutamakan toleransi.

“Oleh itu, jangan mengambil tindakan sendiri kerana pihak berkuasa bertanggungjawab mengendalikan perkara ini. Orang awam boleh menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa dan bukan bertindak sendiri,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button