BERITA SEMASADALAM NEGERI

Kertas siasatan isu bendera Malaysia akan dihantar kepada TPR dalam masa terdekat

PETALING JAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah melengkapkan kertas siasatan berkaitan ilustrasi bendera Malaysia tanpa bulan sabit yang disiarkan secara digital oleh akhbar Sin Chew Daily.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kertas siasatan lengkap oleh MCMC akan diserahkan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut tidak lama lagi.

Bagaimanapun katanya, beliau masih tidak mempunyai maklumat mengenai dua lagi siasatan yang dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Katanya, siasatan bagi paparan secara digital terletak di bawah bidang kuasa MCMC mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Untuk kesalahan cetakan, siasatan berada di bawah KDN mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

“Siasatan ketiga dilakukan oleh PDRM di bawah beberapa peruntukan termasuk Kanun Keseksaan dan Akta Kawalan Mempamer Lambang Kebangsaan.

“Bagaimanapun, saya tidak mempunyai maklumat lanjut berkenaan status dua siasatan yang lain (PDRM & KDN),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Eid Synergy anjuran Persatuan Seni, Acara Langsung, Konsert dan Festival Malaysia (ALIFE) hari ini.

Syarikat akhbar Sin Chew Daily dalam penerbitan akhbar cetak dan digital baru-baru ini memaparkan Jalur Gemilang tanpa bulan sabit yang mencetuskan kemarahan pelbagai pihak.

Insiden itu turut dikesali Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Sin Chew Daily bagaimanapun telah membuat permohonan maaf di atas kesilapan yang didakwa tidak disengajakan itu termasuk mengambil tindakan menggantung kakitangannya yang terlibat dalam kesalahan berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button