Kerosakan pam utama LRA Sungai Johor, 100,000 akaun terjejas
JOHOR BAHRU – Kira-kira 100,000 akaun pengguna di beberapa kawasan sekitar daerah ini terjejas akibat gangguan bekalan air susulan kerosakan luar jangka pada pam utama yang menyalurkan air ke Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Johor.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, insiden itu menyebabkan operasi LRA Sungai Johor terpaksa dihentikan sepenuhnya semalam.
Beliau berkata, gangguan tersebut telah menghentikan agihan air sebanyak 318 juta liter sehari (MLD) yang sepatutnya disalur kepada pengguna di kawasan terlibat.
“Sebagai langkah segera, pengolahan semula sumber air sedia ada telah dilaksanakan dan berjaya menyelamatkan kira-kira 11,000 akaun pengguna daripada terjejas.
“Akaun-akaun ini dijangka kembali menerima bekalan air seperti biasa menjelang pukul 7 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohamad Fazli, kerja-kerja pembaikan kini sedang dijalankan dengan kemajuan setakat ini mencecah 15 peratus.
Sebagai langkah mitigasi, sebanyak 16 lori tangki air berkapasiti 9 meter padu (m³) dan 40m³ telah dihantar ke lokasi-lokasi kritikal termasuk hospital, pusat kesihatan dan kawasan tumpuan awam bagi memastikan keperluan asas penduduk tidak terjejas.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






