
Kerjasama Malaysia-Maldives diperkukuh, fokus bidang tenaga solar, pertahanan dan digital
PUTRAJAYA – Malaysia menyatakan hasrat untuk memperkukuh kerjasama dengan Maldives dalam bidang baharu seperti tenaga solar terapung, pertahanan dan digital.
Hasrat tersebut disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan lawatan rasmi Presiden Republik Maldives, Dr Mohamed Muizzu selama empat hari ke Malaysia yang bermula hari ini.
Perdana Menteri berkata, ruang kerjasama antara Malaysia dan Maldives amat luas memandangkan kedua-dua negara merupakan negara maritim yang berkongsi banyak persamaan dari segi geografi serta ekonomi.
“Saya sangat gembira dengan siri mesyuarat yang kita adakan dan mesyuarat dua hala bersama menteri. Kerjasama kita merangkumi pelbagai bidang termasuk pendidikan, pelancongan dan latihan.
“Terdapat juga bidang baharu yang dikenal pasti untuk diperluaskan kerjasama (antara Malaysia dan Maldives) termasuk tenaga solar terapung, pertahanan serta digitalisasi,” katanya dalam satu sidang media hari ini.
Dalam sidang media yang sama, Anwar berkata, Malaysia turut akan memperluaskan kerjasama dengan Maldives dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), pendidikan tinggi, pertukaran universiti, sukan dan kesihatan.
Jelas Anwar yang juga Menteri Kewangan, kerjasama kedua-dua negara turut meliputi latihan diplomat serta penubuhan mekanisme perundingan dua hala.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, Malaysia menyokong penuh pendirian Maldives yang menyeru komuniti antarabangsa menghormati keperluan melindungi alam sekitar dan berkongsi tanggungjawab dalam isu perubahan iklim.
Pada tahun lalu, jumlah dagangan Malaysia dan Maldives mencatat peningkatan sebanyak 4.3 peratus kepada RM862.7 juta (AS$189 juta), berbanding RM827.3 juta (AS$180.9 juta) pada 2023.
Sebagai rekod, Maldives adalah rakan dagangan keenam terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Selatan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |