
Kerjasama KBS, MOSTI berjaya tingkatkan mutu atlet negara di persada antarabangsa
PUTRAJAYA – Kerjasama erat antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) terbukti berkesan dalam meningkatkan mutu dan tahap atlet sukan di peringkat antarabangsa.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halil berkata, situasi sukan masa kini yang turut mengaplikasi sains dan teknologi perlu diberi penekanan supaya atlet negara dapat bersaing dengan lebih baik terutamanya dalam arena antarabangsa.
“Jalinan kerjasama ini akhirnya akan dapat meningkatkan taraf atlet kita, sekaligus mengharumkan nama negara di persada antarabangsa,” kata Adam Adli.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah Inovasi Teknologi Sukan Kebangsaan 2023 dan Pelancaran Sandbox Teknologi Sukan, di sini malam tadi.
Hadir sama, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Arthur Joseph Kurup; Ketua Setiausaha KBS, Dr K Nagulendran; Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Dr Aminuddin Hassim dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Md Ramli.
Penganjuran majlis ini bertujuan untuk memasyhurkan peranan ISN sebagai Pusat Kecemerlangan Penyelidikan & Pembangunan (R&D) Teknologi Sukan yang merupakan agensi perintis serta pemacu program dan inisiatif inovasi sukan di Malaysia.
Berteraskan pendekatan a whole of nation approach dengan kerjasama pemegang taruh di pelbagai peringkat, ISN telah diiktiraf sebagai Sandbox Teknologi Sukan oleh National Technology and Innovation Sandbox (NTIS) dibawah MOSTI pada tahun 2021.
Sandbox Teknologi Sukan ini secara umumnya berperanan sebagai platform validasi, ujilari dan regulatori bagi pembangunan dan pengkomersialan produk dan program tempatan berkaitan teknologi dan inovasi sukan.
Sebagai tanda sokongan dan memberi pengiktirafan kepada pemegang taruh yang telah menghasilkan produk/hasil inovasi teknologi sukan, majlis tersebut turut memberi pengiktirafan melalui Anugerah Inovasi Teknologi Sukan Kebangsaan 2023 yang telah mula diperkenalkan pada tahun 2022.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








