
Kerjasama agensi penguatkuasaan berjaya bendung penyeludupan barang bersubsidi
TEBEDU – Kerjasama rapat antara agensi penguatkuasaan amat penting bagi membendung kegiatan penyeludupan dan penyelewengan barang bersubsidi, khususnya di kawasan sempadan Malaysia yang mudah diceroboh.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Dr Fuziah Salleh berkata, usaha bersama pelbagai agensi termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Agensi Kawalan Dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) amat penting bagi mencegah aktiviti penyelewengan dan penyeludupan barang kawalan.
“KPDN sentiasa memikirkan strategi untuk membendung ketirisan dan penyelewengan dengan menjalankan risikan dan pemeriksaan berkala ke atas stesen minyak yang berada di sempadan serta membuat kerjasama strategik dengan agensi-agensi penguatkuasaan sempadan,” kata Fuziah dalam satu kenyataan, semalam.
Terdahulu, beliau melakukan lawatan kerja ke ICQS Tebedu bagi melihat sendiri situasi di sempadan antara Malaysia dan Indonesia dan melakukan tinjauan ke premis pemborong Gula, Minyak Masak dan Tepung (GMT), iaitu Pemborong GMT Guan Tai Sdn. Bhd.
“Sesi turun padang ini merupakan sebahagian daripada pelaksanaan OPS TIRIS 3.0 di bawah inisiatif ‘KITA GEMPUR’, yang bertujuan memperkukuh usaha penguatkuasaan, membanteras sebarang bentuk penyelewengan subsidi, serta memastikan bekalan barangan bersubsidi disalurkan kepada pengguna dengan harga yang ditetapkan di seluruh Sarawak,” katanya lagi.
Fuziah turut memberitahu, dari Januari hingga Jun 2025, pihaknya berjaya menyiasat 128 kes penyelewengan dan penyeludupan barang kawalan dengan nilai rampasan sebanyak RM1.18 juta di bawah OPS TIRIS 3.0.
“Kerajaan MADANI sentiasa mengutamakan pendekatan ‘Whole Nation Approach’ yang merupakan inisiatif bersama yang inklusif melibatkan Kerajaan, agensi penguatkuasaan dan pengguna.
“Pengguna adalah yang terdekat dengan peniaga dan sesuatu yang berlaku cepat dihidu agar tidak memberi kesan kepada pengguna.
“Justeru, pengguna disarankan untuk menjadi mata dan telinga untuk menyalurkan maklumat-maklumat berhubung aktiviti penyelewengan, ketirisan, penyeludupan, manipulasi, penipuan dan kartel barang kawalan dan bersubsidi,” katanya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |