Kerja penggerudian telaga tiub di UMS sudah dimulakan
KOTA KINABALU – Kerja penggerudian telaga tiub bagi mengurangkan masalah air di Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah dimulakan pada minggu ini.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, kerja penggerudian itu membabitkan empat daripada enam telaga tiub yang lokasinya telah dikenal pasti, dilaksanakan oleh dua kontraktor yang dilantik.
Beliau menambah, perkembangan itu dilaporkan kepadanya untuk dibawa ke mesyuarat Kementerian Pendidikan Tinggi pada Isnin ini sebelum dibentangkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir ke Kabinet.
“Sekarang proses penggerudian empat telaga tiub sedang giat dilaksanakan. Pihak Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) juga sudah melawat ke lokasi telaga tiub terbabit.
“Perkembangan kerja penggerudian itu akan dilapor setiap minggu dan Isnin ini kita akan bawa ke mesyuarat kementerian dan menteri juga akan lapor kepada Kabinet,” katanya ditemui media selepas menyempurnakan acara ‘mencelik mata singa’ sempena sambutan Tahun Baharu Cina, di Inanam hari ini.
Pembinaan sistem telaga tiub itu dibiayai menggunakan dana RM3 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mei tahun lalu bagi membantu UMS menangani krisis bekalan air di kampus induknya, di sini.
Sementara itu, Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar meminta Jabatan Pendidikan dan Kementerian Pendidikan (KPM) supaya memberi perhatian kepada masalah sekolah daif di sekitar Sepanggar yang belum diselesaikan.
Katanya, setakat ini sebanyak 12 sekolah rendah lagi dikenal pasti daif dan tidak selamat diduduki serta memerlukan perhatian segera pembaikan infrastruktur bangunan demi keselamatan murid dan guru.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






