
Kereta bertembung lori, suami isteri maut
PEKAN – Sepasang suami isteri maut manakala tiga anak mereka parah selepas kereta dinaiki sekeluarga itu bertembung dengan sebuah lori di Jalan Kuantan – Segamat berhampiran Kampung Batu Lapan, Lepar, malam tadi.
Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Jamal Azizul Samat, 44, yang memandu kereta jenis Proton Wira dan isterinya, Lizawati Abdullah,41.Kedua-duanya berasal dari Felda Chini Timur 1.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, kemalangan berlaku kira-kira pukul 10 malam ketika keluarga tersebut dalam perjalanan dari arah Kuantan menuju ke Segamat.
“Siasatan awal mendapati kenderaan dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan ketika memotong sebuah kenderaan lain lalu terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Akibat pelanggaran itu, kedua-dua mangsa tersepit di bahagian tempat duduk hadapan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Menurutnya lagi, tiga anak pasangan tersebut yang berusia antara enam hingga 17 tahun turut mengalami kecederaan parah dan telah dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk menerima rawatan lanjut.
“Pemandu lori berusia 31 tahun serta dua kelindan lori hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya lagi.
Mayat pasangan suami isteri berkenaan telah dihantar ke Hospital Pekan untuk dibedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai sehingga menyebabkan kematian.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |