
Kerangka Ekonomi MADANI pulihkan prestasi ekonomi Malaysia
PUTRAJAYA – Pelaksanaan kerangka Ekonomi MADANI berjaya memulihkan prestasi Malaysia walaupun suasana ekonomi dunia berada dalam keadaan tidak menentu.
Ini dibuktikan menerusi pertumbuhan sebanyak 4.2 peratus, berbanding 2.9 peratus pada suku sebelumnya, yang didorong oleh pemulihan prestasi eksport dan permintaan domestik yang rancak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sehubungan itu kerajaan optimis Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia berada pada kedudukan yang baik dan akan berkembang pada kadar unjuran rasmi antara 4.0 hingga 5.0 peratus bagi setahun penuh 2024.
“Tahap keyakinan itu dicerminkan dengan pertumbuhan ekonomi suku pertama yang berkembang sebanyak 4.2 peratus dan mengatasi unjuran konsensus Bloomberg sebanyak 3.9 peratus.
“Peningkatan keyakinan terhadap pasaran modal domestik (turut) boleh dilihat melalui rekod paras baharu Bursa Malaysia mutakhir ini yang mencerminkan minat pelabur dunia kembali tertumpu kepada naratif reformasi Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Sehubungan itu, Anwar menegaskan, kerajaan bertekad untuk menjayakan pelaksanaan kerangka Ekonomi MADANI.
“Dalam tahun pertama pentadbiran, kerajaan MADANI telah memulakan reformasi dasar yang menyeluruh serta komited melaksanakan agenda reformasi bagi mentransformasi ekonomi dan penyampaian perkhidmatan awam,” katanya lagi.
Sementara itu, dalam kenyataan sama, Kementerian Kewangan (MOF) menegaskan, peningkatan momentum ekonomi mencerminkan asas negara yang kukuh dan keyakinan pelabur terhadap ekonomi domestik, serta diperhebat lagi dengan dasar jitu kerajaan MADANI.
“Kerangka Ekonomi MADANI, yang memeta strategi ampuh untuk pertumbuhan ekonomi Malaysia serta mengenal pasti industri pertumbuhan baharu, telah mula mencipta hasil positif terhadap pengembangan berterusan ekonomi negara.
“Pertumbuhan ini turut dipacu oleh langkah ekonomi yang digariskan dalam Belanjawan MADANI Kedua (2024) serta tekad kerajaan untuk membawa pendekatan pengurusan kewangan yang berhemat di samping terus memastikan kebajikan golongan rentan kekal terpelihara,” katanya.
Sebagai tambahan, Kementerian Kewangan berkata, pelaksanaan strategi dan langkah di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), serta inisiatif Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) kekal menarik pelaburan bernilai tinggi dalam industri bernilai tambah tinggi, sekali gus mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi yang meningkatkan kualiti hidup rakyat.
“Melangkah ke hadapan, usaha akan dipergiat bagi menambah baik penyampaian perkhidmatan awam serta melonjakkan produktiviti. Usaha ini bertujuan untuk memastikan dasar pro-pembangunan ekonomi dilaksanakan seperti dirancang bagi mencapai aspirasi negara,” katanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |