
Kerajaan umum mekanisme, rasionalisasi subsidi beberapa minggu lagi – Rafizi
KUALA LUMPUR – Pengumuman mengenai mekanisme dan kriteria membabitkan rasionalisasi subsidi akan dibuat dalam tempoh berapa minggu lagi.
Sehubungan itu, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, kerajaan akan memberi penerangan khusus berhubung implikasi mengenai mekanisme dan kriteria yang akan diumumkan kepada setiap lapisan masyarakat.
“Jika kita dapat melaksanakan (rasionalisasi subsidi) anggaran Bank Dunia menunjukkan bahawa peralihan penjimatan subsidi ini kepada bantuan sosial boleh menggandakan pengurangan kadar kemiskinan dan dapat menjana sumbangan kepada penjimatan fiskal,” kata Rafizi.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia (MEM) 2024 Bank Dunia bertajuk ‘Bending Bamboo Shoots: Strengthening Foundational Skills’, di sini hari ini.
Hadir sama, Pengurus Negara Bank Dunia bagi Malaysia, Dr Yasuhiko Matsuda.
Sebelum ini, firma penyelidikan mendedahkan bahawa impak positif program rasionalisasi subsidi dijangka dirasai tahun depan dengan kedudukan fiskal negara diunjurkan lebih kukuh, meskipun pelaksanaannya akan memberi kesan kepada penggunaan agregat.
Justeru, perkembangan berkenaan dijangka mengubah sentimen pelabur yang akan lebih berkeyakinan terhadap pasaran tempatan pada separuh kedua tahun ini.
Mengenai pelaksanaan Pangkalan Data Utama (PADU), Rafizi berkata, ia memberi ruang mencukupi kepada kerajaan untuk melaksanakan rasionalisasi subsidi dan peralihan daripada model regresif subsidi menyeluruh.
“Dengan tahap data yang diperlukan ini, kami boleh meminimumkan ralat dan memastikan pengagihan subsidi yang saksama kepada mereka yang paling memerlukannya,” katanya.
Beliau menjelaskan konsolidasi kedudukan fiskal akan membantu kerajaan meneroka pertumbuhan baharu.
“Itulah sebabnya kerajaan melancarkan Pelan Tindakan KL20, satu siri pembaharuan holistik, yang akan meletakkan Kuala Lumpur sebagai syurga seterusnya untuk modal teroka (VC) dan pengasas syarikat pemula niaga,” katanya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |