BERITA SEMASA

Kerajaan umum bantuan E-Tunai dan bantuan khas penjawat awam

KUALA LUMPUR – Rakyat negara ini yang berpendapatan RM100,000 ke bawah setahun layak menerima bantuan kredit e-tunai sebanyak RM100.

Pengumuman mengenai perkara itu dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Peluncuran Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat hari ini.

Anwar berkata, inisiatif ini membabitkan peruntukan sekitar RM1 bilion akan memanfaatkan lebih 10 juta rakyat berusia 21 tahun ke atas yang merangkumi golongan B40 dan M40.

Katanya, inisiatif e-tunai kepada golongan dewasa itu diumumkan selepas kerajaan melihat kejayaan dan impak besar program e-tunai kepada masyarakat.

“Melihat akan kejayaan dan impak besar program e-tunai kepada masyarakat, Kerajaan bersetuju untuk menawarkan kredit e-tunai sebanyak RM100 kepada semua rakyat dewasa Malaysia yang berpendapatan RM100,000 setahun dan ke bawah.

“Bilangan penerima yang layak dianggarkan melebihi 10 juta rakyat iaitu merangkumi golongan B40 dan M40 dengan dana sekitar RM1 bilion,” katanya

Dalam perkembangan lain, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan pemberian bantuan khas penghargaan kepada penjawat awam sebanyak RM300 gred 56 ke bawah termasuk lantikan kontrak.

Selain itu, bantuan yang sama berjumlah RM200 juga disediakan untuk pesara kerajaan, termasuk pesara berpencen, penerima pencen terbitan, pesara Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pesara bersara pilihan dan belum menerima pencen, veteran berpencen serta veteran tidak berpencen.

Katanya, bantuan yang memanfaatkan 1.3 juta penjawat awam dan lebih sejuta pesara itu akan diberikan dalam tempoh dua minggu dan sebagai permulaan sementara menunggu proses pelarasan gaji dan elaun penjawat awam selesai diperincikan.

“Saya arahkan Kementerian Kewangan agar dapat meluluskan dan menyalurkan bantuan khas ini dalam tempoh dua minggu dari sekarang,” katanya.

 

 

 

 

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button