Berita Semasa

Kerajaan tambah RM6 juta untuk program iTekad

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengumumkan tambahan RM6 juta bagi memperkasakan program iTekad untuk membantu usahawan Perusahaan Kecil dan Mikro Sederhana (PMKS).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tambahan daripada penjimatan kerajaan itu akan menjadikan jumlah bantuan keseluruhan iTekad untuk tahun ini sebanyak RM10 juta.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, dalam usaha menghapus dan merapatkan jurang kemiskinan melalui inisiatif itu kerajaan turut mensasarkan tambahan penglibatan 9 lagi institusi perbankan.

“Jika berjaya dengan RM4 juta yang diperuntukkan sebelum ini, tak perlu saya tambah lagi.

“Sekiranya perlu dana tambahan maka saya akan tambah kepada RM10 juta untuk tahun ini dengan andaian jumlah bank ditambah kepada 20,” katanya.

Anwar berkata demikian dalam ucapan Majlis Jalinan Kerjasama iTekad di Sasana Kijang di sini, hari ini.

iTekad merupakan program yang diwujudkan Bank Negara bagi membantu usahawan mikro berpendapatan rendah di seluruh negara.

Beliau berkata, kerajaan mengalu-alukan penyertaan lebih banyak bank pada ketika ini untuk menghasilkan impak yang lebih berkesan melalui program bantuan kewangan sosial itu.

“Dalam masa beberapa bulan lagi akan jadi 20 bank. Mana-mana bank yang belum menyertai iTekad ini diharap akan (turut serta) dalam pelaksanaannya.

“Penyertaan ini penting untuk menjadikan inisiatif iTekad ini satu tonggak kejayaan sektor perbankan di Malaysia,” katanya.

Sementara itu Anwar turut memuji keberkesanan pelaksanaan iTekad yang memberi manfaat kepada golongan PKMS dalam mengembangkan perniagaan.

“Siapa sangka orang-orang yang tercorot dapat guna Alaplikasi tertentu untuk membaiki taraf ekonomi.

“Saya percaya ini boleh dikembangkan lagi dan saya begitu bangga dengan pelaksanaannya,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button