BERITA SEMASA

Kerajaan siap siaga hadapi banjir gelombang kedua – Ahmad Zahid

GOMBAK – Kerajaan kini dalam keadaan siap-siaga bagi menghadapi gelombang kedua banjir yang dijangka melanda kawasan Pantai Timur dalam tempoh terdekat.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sedang giat memastikan kesediaan amaran awal termasuk memberi keutamaan kepada proses pemindahan mangsa yang berada di kawasan berisiko tinggi.

“Yang penting sistem yang telah kita wujudkan adalah dari segi kesiap-siagaan dan amaran awal supaya pemindahan dapat dilakukan lebih awal.

“Itu bagi mengelakkan kehilangan nyawa, kerosakan dokumen dan juga kita dapat membuat persiapan bagi mangsa-mangsa yang kita jangkakan daripada kawasan red spot itu untuk pergi ke Pusat Pemindahan Sementara,” katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja di Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UniKL BMI), di sini hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa NADMA berkata, gelombang kedua banjir dijangka melibatkan negeri Kelantan dan Terengganu sebelum merebak ke Pahang serta Johor.

Selain itu katanya, selatan Sarawak turut dikenal pasti berdepan situasi sama.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan Gelombang Monsun Kedua melanda Pantai Timur, Johor, Sabah dan Sarawak mulai 5 hingga 8 Disember yang membawa hujan berterusan ke seluruh kawasan terlibat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button