Berita Semasa

Kerajaan setuju terma Ocean Infinity cari MH370

PUTRAJAYA – Jemaah Menteri hari ini bersetuju dengan terma dan syarat Ocean Infinity bagi meneruskan operasi pencarian bangkai pesawat MH370 di Lautan Hindi.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dalam satu kenyataan hari ini berkata, dengan kelulusan itu, Kementerian Pengangkutan (MoT) akan mewakili kerajaan bagi menandatangani perjanjian pencarian dengan syarikat terbabit.

Keputusan itu membolehkan operasi pencarian dasar laut dimulakan bagi mengesan bangkai pesawat MH370 di satu lokasi baharu yang dianggarkan seluas 15,000 kilometer persegi di Selatan Lautan Hindi berdasarkan prinsip ‘tiada jumpa, tiada bayaran’.

“Mengikut prinsip ini, kerajaan Malaysia tidak perlu mengeluarkan sebarang bayaran kepada syarikat ini sekiranya tiada sebarang bangkai pesawat yang ditemui.

“Fi sejumlah AS$70 juta (hanya) akan dibayar kepada Ocean Infinity sekiranya bangkai pesawat MH370 berjaya dijumpai,” katanya.

Anthony menambah, kerajaan komited meneruskan operasi pencarian dan memberikan penutup (closure) bagi keluarga waris penumpang pesawat malang berkenaan.

Dalam operasi pada 2018, Ocean Infinity memulakan pencarian ‘tiada jumpa, tiada bayaran’ selama tiga bulan, meliputi kira-kira 112,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi, namun tiada sebarang tanda mengenai MH370 ditemukan di lokasi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button