Kerajaan setuju penugasan polis di sekolah
KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju dengan kehadiran polis di kawasan sekolah bagi menjamin keselamatan pelajar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu diambil selepas melihat kepada masalah buli, penderaan dan jenayah di sekolah yang semakin berleluasa.
“Bagaimanapun, kita akan memberikan panduan supaya polis memantau dan tidak menimbulkan keresahan kepada anak-anak.
“Kerajaan juga bersetuju untuk menubuhkan Majlis Pendidikan Negara bagi memperbaiki kelemahan dalam sistem pendidikan negara dan menyelaras pandangan semua pihak berkepentingan,” katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) yang bertanyakan mengenai langkah-langkah Kerajaan dalam meningkatkan usaha-usaha sekolah serta mengukuhkan kerjasama antara pihak sekolah, ibu bapa, komuniti setempat dan agensi keselamatan bagi menangani isu keselamatan dan kesejahteraan murid di peringkat akar umbi.
Perdana Menteri berkata, melihat kepada kebimbangan ibu bapa terhadap keselamatan anak-anak mereka, kerajaan juga bersetuju untuk memasang kamera litar tertutup (CCTV).
Sehubungan itu, sebanyak RM5 juta sudah diluluskan bagi melaksanakan pemasangan CCTV di beberapa sekolah pilihan.
“Kaunseling juga akan ditambah, walaupun ia tidak seperti kaunselor yang terlatih, berkelayakan, dan bertauliah, itu juga sedang dipertimbangkan.
“Selain itu, pengambilan pembantu warden asrama, termasuk veteran tentera akan dibuat secara lebih kemas,” katanya.
Pada sesi itu Anwar turut bersetuju dengan cadangan Saifuddin supaya jawatankuasa keselamatan dan kesejahteraan murid sekolah dilakukan secara lebih berstruktur.
Katanya, kerajaan juga akan mempertimbangkan cadangan untuk menapis pengambilan pengawal keselamatan, pekerja kantin dan petugas kebersihan serta memastikan mereka mempunyai sijil kelayakan khas.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






