BERITA SEMASAPMX

Kerajaan setuju mulakan kerja awal lima projek pembangunan jadi keutamaan di Pahang

KUANTAN – Kerajaan bersetuju dengan cadangan untuk memulakan kerja awal bagi lima projek yang menjadi keutamaan di negeri Pahang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat semasa mempengerusikan Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Pahang bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta barisan kepimpinan kerajaan negeri di sini, semalam.

“Lima projek itu ialah pembinaan persimpangan bertingkat Bukit Rangin, Jalan Kuantan-Chukai (FT03, penaiktarafan Jalan FT012 Jalan Kuantan-Segamat sepanjang 51 kilometer dan pakej 6 bagi Central Spine Road antara Karak-Simpang Pelangai.

“Selain itu penaiktarafan Jalan dari Kampung Padang ke Persimpangan Lampu Isyarat Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) 1 (Fasa 2) dan pembinaan baharu Klinik Kesihatan Jenis 7 beserta 10 unit Kuarters Kelas F di Pos Lenjang, Pahang,” katanya menerusi hantaran Facebook semalam.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, dalam mesyuarat tersebut, beliau telah dibentangkan dengan pelbagai projek pembangunan dan perancangan jangka panjang melibatkan aspek infrastruktur asas seperti jalan raya, tebatan banjir, kesihatan, perkilangan dan perumahan.

Katanya, selain melihat kepada perancangan projek pembangunan, mesyuarat turut meneliti bilangan terkini warga miskin tegar di Pahang yang bakal dinoktahkan menjelang hujung bulan April.

“Saya percaya melalui perancangan dan pelaksanaan projek yang dirancang dengan teliti ia mampu membawa manfaat kepada warga Pahang serta limpahan pembangunan kepada negara,” katanya.

Di penghujung sesi mesyuarat, Anwar berkata, beliau memberi penekanan terutamanya kepada barisan kepemimpinan negeri untuk lantas tingkatkan prestasi serta perkemas prinsip tadbir urus yang baik agar negeri dan negara dapat terus dilonjak ke tahap yang lebih cemerlang dan bermakna.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button