BERITA SEMASA

Kerajaan semak semula pekeliling pakaian susulan kes tular di balai polis

KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan akan meneliti dan memperhalusi semula pekeliling pakaian yang dikeluarkan Pejabat Ketua Setiausaha Negara (KSN) pada tahun 2020, susulan insiden tular seorang individu yang tidak dibenarkan membuat laporan polis kerana tidak menepati etika pemakaian di premis kerajaan.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa tiada pihak seharusnya dihalang daripada membuat laporan polis atas faktor pakaian terutama di premis berkaitan keselamatan dan perkhidmatan barisan hadapan.

Fahmi Fadzil
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil pada sidang media selepas Mesyuarat Jemaah Menteri di Parlimen hari ini. – Foto Media Sosial

“Pandangan Perdana Menteri jelas dalam isu keselamatan melibatkan balai-balai polis bagi mereka yang mahu membuat laporan, seharusnya tidak berlaku apa-apa keadaan menghalang mereka daripada membuat laporan polis,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jemaah Menteri di Parlimen hari ini.

Menurutnya, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar akan meneliti pekeliling tersebut dan membuat beberapa penambahbaikan susulan keputusan jemaah menteri agar beberapa perkhidmatan yang dianggap frontline seperti kesihatan dan keselamatan diberi pengecualian.

“Kita boleh jangkakan kenyataan dan pekeliling baru akan dikeluarkan KSN dalam masa tidak terlalu lama,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan kejayaan besar Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku, yang mencatatkan lebih 500,000 pengunjung sepanjang tiga hari berlangsung dari 5 hingga 7 Disember lalu di Putrajaya sekali gus jumlah kehadiran tertinggi pernah direkodkan.

“Perdana Menteri juga mengucapkan tahniah kepada Tan Sri KSN di atas pencapaian menguruskan acara yang luar biasa penerimaannya,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button