
Kerajaan Selangor serius tangani isu tapak pembuangan sampah haram di Dengkil – Amirudin
CYBERJAYA – Kerajaan Selangor memberi jaminan akan mengambil tindakan lebih tegas dalam menangani isu pencerobohan tanah dan pembuangan sampah haram yang semakin berleluasa di beberapa kawasan di Dengkil.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, isu berkenaan bukan sahaja berkait dengan pembuangan sampah haram tetapi juga melibatkan aspek pemilikan serta pengawasan tanah.
“Kalau kita lihat di Kajang, semalam di Hulu Selangor, perkara ini terus berulang. Saya berpandangan kita perlu tangani isu ini dari akar umbi kerana ia berpunca daripada isu tanah dan pengawasan yang lemah,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Awam Rancangan Tempatan Majlis Perbandaran Sepang (MP Sepang), hari ini.
Menurut beliau, tindakan perlu dimulakan daripada pejabat tanah termasuk semakan semula pemberian komisen berkaitan tanah serta penggubalan dasar baharu jika perlu.
“Kerajaan agak terikat di bawah bidang kuasa dan perundangan tanah sedia ada. Tetapi jika kita mempunyai pasukan petugas (task force) yang cekap, kita boleh respon dengan pantas terhadap aduan rakyat,” katanya.
Amirudin turut mencadangkan supaya hukuman lebih berat dikenakan bukan sahaja kepada pengendali tapak pembuangan sampah haram, tetapi juga kepada pemilik tanah yang membenarkan aktiviti itu berlaku.
“Tindakan denda yang lebih tinggi, perampasan tanah serta tindakan undang-undang perlu dikenakan terhadap pemilik tanah yang terlibat kerana kesannya amat parah kepada alam sekitar dan masyarakat,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan Selangor telah membelanjakan puluhan juta ringgit bagi kerja-kerja pembersihan kawasan terjejas, namun ia hanya boleh dilakukan selepas proses rampasan tanah dimuktamadkan.
“Dahulu, kita pernah beri tempoh sebulan kepada operator untuk mengosongkan tapak, tetapi keputusan mahkamah memutuskan tempoh itu tidak mencukupi dan mengembalikan semula hak kepada mereka.
“Oleh itu, kita perlu semak semula undang-undang supaya tindakan yang lebih tegas dapat diambil,” katanya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |