BERITA SEMASA

Kerajaan sedia bantu media tempatan dapat bayaran adil dari big tech

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, kerajaan bersedia menjadi pemudah cara bagi membantu perundingan organisasi media tempatan mendapatkan pampasan atau bayaran adil dengan syarikat teknologi raksasa yang mengaut keuntungan berbilion ringgit hasil kandungan tempatan.

Justeru, beliau berkata, satu kerangka perundangan perlu diperkenalkan bagi melicinkan perundingan tersebut.

“Nilai perbelanjaan pengiklanan atau advertisement expenditure (ADEX) bagi tahun 2022 di negara ini adalah sebanyak RM7.08 bilion dan RM5.15 bilion daripada jumlah itu telah pergi ke platform digital. Media cetak hanya memperoleh sebanyak RM400 juta pada tahun 2022 berbanding RM1.6 bilion pada tahun 2015 yang turut dialami oleh stesen-stesen TV dan radio.

“Pada tahun 2027, nilai ADEX adalah dijangkakan sebanyak RM8.1 bilion. Namun begitu, daripada jumlah tersebut, lebih RM7 bilion akan pergi ke big tech seperti Google, Facebook dan TikTok manakala platform-platform lain seperti media cetak, radio dan TV serta edisi digital masing-masing hanya mendapat sebahagian kecil ADEX sahaja.

“Sekiranya keadaan ini tidak diperbaik, industri berita akan menjadi fragmented yang mengakibatkan berleluasanya kemunculan berita-berita yang tidak sahih dari segi akauntabliti dalam konteks melaksanakan kewartawanan beretika dan bertanggungjawab, media tempatan juga berada dalam keadaan bermasalah,” katanya ketika berucap sempena Forum Media Nasional anjuran Malaysian Press Institute (MPI) di sini hari ini.

Teks beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), Mastura Ahmad Mustafa.

Dalam pada itu Fahmi berkata, pihaknya juga dimaklumkan bahawa terdapat usaha yang telah dimulakan oleh Malaysian Newspaper Publishers Association (MNPA) dengan penglibatan beberapa organisasi media lain seperti Media Prima Berhad, Astro, Star, Malaysian Chinese International (MCIL) dan RTM yang telah menubuhkan sebuah task force untuk menyelamatkan kewartawanan di Malaysia.

Katanya, pihak terbabit sedang merancang untuk berbincang dengan big tech untuk mendapatkan bayaran setimpal bagi kandungan tempatan yang digunakan oleh Google, Facebook dan TikTok.

“Adalah tidak adil bagi syarikat-syarikat teknologi besar menggunakan kekuatan mereka memperdagangkan kandungan tempatan untuk keuntungan sendiri sahaja dengan secara percuma dan menjualnya kepada para pengiklan sedangkan untuk menghasilkan kerja-kerja kewartawanan yang bermutu tinggi memerlukan modal yang besar.

“Dianggarkan Media Prima, Astro, Star, MCIL dan RTM membelanjakan sehingga RM278.1 juta setahun bagi menghasilkan kandungannya. Tentulah tidak masuk akal apabila penerbitan atau penyiaran kandungan tersebut diceduk secara percuma oleh syarikat gergasi teknologi dan membuat untung daripadanya.

Sementara itu Fahmi turut menggesa supaya jawatankuasa yang dibentuk oleh MNPA itu memang turut melibatkan media-media kecil dan sederhana supaya mereka tidak disisihkan dalam perundingan dengan Google dan Facebook.

“Mereka juga perlu dilibatkan. Kalau tidak nanti, syarikat raksasa teknologi akan melakukan pecah dan perintah, menjadikan usaha untuk mendapatkan pampasan dan bayaran yang adil untuk keseluruhan industri menjadi tidak berkesan,” tegasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button