BERITA SEMASADALAM NEGERI

Kerajaan peruntuk RM29.14 juta naik taraf Jalan Persekutuan di Dungun

KUALA LUMPUR – Kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM29.14 juta bagi program penyelenggaraan berkala pavemen dan berkala bukan pavemen bagi membaiki Jalan Persekutuan di daerah Dungun, Terengganu bagi tahun 2023 hingga 2024.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan daripada Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli di Dewan Rakyat, hari ini.

“Penyelenggaraan jalan yang rosak akibat bencana seperti banjir sentiasa diberikan perhatian serius.

“Jalan Persekutuan di daerah Dungun sepanjang 302.85 kilometer yang melibatkan 16 laluan utama, diselenggara oleh syarikat konsesi penyelenggaraan Jalan Persekutuan,” katanya.

Jelas Alexander lagi, sepanjang tahun 2023 hingga 2024, kerja-kerja penyelenggaraan yang telah dilaksanakan melibatkan 24 kerja berkala pavemen, 18 kerja berkala bukan pavemen, enam kerja penyelenggaraan kecil jambatan serta 23 kerja penyelenggaraan lampu jalan dan lampu isyarat.

“Semua kerja ini telah disiapkan sepenuhnya oleh syarikat konsesi melalui Arahan Kerja (AK) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) melalui kaedah perolehan jabatan,” ujarnya.

Tambah beliau, bagi tahun 2025 kementeriannya telah mengenal pasti jalan-jalan yang mengalami kerosakan dan merancang peruntukan sebanyak RM12.53 juta bagi kerja-kerja penyelenggaraan berkala pavemen dan bukan pavemen.

Ini termasuk enam kerja berkala pavemen dan lapan kerja berkala bukan pavemen di Parlimen Dungun, dengan semua kerja dijangka siap menjelang Mac 2025.

“Antara skop kerja yang bakal dilaksanakan ialah memperbaharui permukaan jalan yang rosak akibat banjir menggunakan kaedah partial reconstruction serta mill & pave.

“Selain itu, kerja-kerja penyelenggaraan berkala bukan pavemen akan merangkumi pembaikan embankment runtuh, penyelenggaraan pembetung yang rosak, pengecatan semula garisan jalan yang pudar dan penyelenggaraan papan tanda jalan,” jelasnya.

Alexander menegaskan komitmen kementeriannya melalui JKR dalam memastikan jaringan jalan persekutuan kekal selamat dan selesa untuk pengguna melalui pelaksanaan penyelenggaraan jalan secara berterusan sepanjang tahun.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button