BERITA SEMASA

Sambutan pelbagai perayaan di Malaysia platform erat perpaduan -Aaron

PENGKALAN HULU – Kerajaan Madani memperuntukkan sebanyak RM1 juta menerusi Bajet MADANI 2025 bagi usaha memelihara budaya dan bahasa masyarakat Siam di Malaysia.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, langkah itu menunjukkan komitmen kerajaan dalam memperkukuhkan perpaduan dan pengiktirafan terhadap kaum minoriti di negara ini.

Menurutnya, masyarakat Siam adalah antara komuniti yang mempunyai warisan budaya tersendiri yang wajar dipelihara demi kesinambungan generasi akan datang.

“Peruntukan ini adalah bukti bahawa Kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sentiasa menghargai sumbangan semua kaum dalam pembinaan negara bangsa.

Songkran 2025

“Warisan budaya bukan hanya untuk dikenang, tetapi perlu terus dipelihara dan diraikan dalam suasana aman dan harmoni,” katanya ketika berucap merasmikan Perayaan Songkran Peringkat Kebangsaan 2025 di Dewan Songkran, Kampung Tasek, di sini, hari ini.

Aaron turut memaklumkan kementeriannya juga akan menerbitkan Dokumentari Budaya Etnik Minoriti, termasuk masyarakat Siam, Portugis, Chetti, Bajau, Orang Ulu dan Semai bagi tujuan promosi dan pendidikan.

Majlis Songkran 2025

Selain itu, beliau mencadangkan agar Program Jalinan Integrasi Mahasiswa atau Misi Sukarelawan Siswa dilaksanakan di Pengkalan Hulu tahun hadapan bagi membolehkan generasi muda mengenali lebih dekat warisan masyarakat Siam.

“Kementerian Perpaduan Negara akan terus memainkan peranan aktif dalam memperkukuh integrasi sosial termasuk melalui penglibatan belia dan pendidikan berteraskan perpaduan,” ujarnya.

Perayaan Songkran tahun ini cukup bermakna apabila ia disambut buat kali ke-50 di Kampung Tasek, sekali gus membuktikan kekuatan budaya masyarakat Siam yang terus kukuh dipertahankan sejak puluhan tahun lalu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button