
Kerajaan perkukuh media, 12 ahli lembaga pengasas MMM diperkenal
KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, hari ini mengumumkan Lembaga Pengasas bagi Majlis Media Malaysia (MMM) selepas pembentukannya dimuktamadkan.
“Lembaga pengasas ini melibatkan 12 individu merangkumi empat wakil bagi setiap kategori utama iaitu syarikat media, persatuan media, pengamal media bebas serta ahli bukan media. Ini menandakan satu lagi langkah penting dalam usaha kerajaan memperkukuh landskap media negara.
“Pengumuman lanjut mengenai pelantikan Lembaga Pengasas ini akan dibuat oleh Majlis Media Malaysia dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita ketika Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.
Majlis bertemakan “Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika” yang dan menghimpunkan lebih 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara itu dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Fahmi memaklumkan MMM dijangka beroperasi sekitar pertengahan tahun ini, susulan kelulusan Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia 2024 di Parlimen pada Februari lalu.
“Penubuhan MMM merupakan inisiatif strategik kerajaan untuk mewujudkan sebuah badan kawal selia kendiri yang berperanan menjaga kebebasan media, memelihara integriti profesion kewartawanan dan meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap media.
“Majlis ini bukan sekadar platform kawal selia, sebaliknya satu institusi penting dalam memperkasakan media tempatan agar kekal bebas, bertanggungjawab dan beretika,” ujarnya.
Sambutan HAWANA 2025 anjuran Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Bernama sebagai agensi pelaksana, mengiktiraf sumbangan golongan wartawan dalam pembangunan negara serta menyemarakkan peranan media sebagai pemangkin kemajuan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |