BERITA SEMASAINISIATIF KERAJAANMALAYSIA MADANI

Kerajaan percepat pelaksanaan BDI, komited perkasa sektor PKS

KUALA LUMPUR – Kerajaan menerusi Kementerian Digital terus komited memperkasa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan mempercepatkan pelaksanaan Business Digitalisation Initiative (BDI), satu inisiatif berskala besar yang dilancarkan bulan lalu.

Menteri Digital, Gobind Sing Deo berkata, BDI yang disokong oleh dana campuran berjumlah RM1.5 bilion merupakan antara usaha menyeluruh kerajaan untuk membekalkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan kemahiran dan peralatan yang diperlukan bagi mendepani era transformasi digital.

Gobind bergambar bersama sebahagian peserta program tersebut.

“Antara komponen utama BDI termasuk penyelesaian digital freemium, pakej digitalisasi komprehensif, khidmat nasihat tersuai serta akses kepada ekosistem digital yang bersepadu hasil kerjasama sektor awam dan swasta.

“Dalam tempoh sebulan sejak pelancarannya, BDI telah berjaya menarik lebih 20,000 permohonan pembiayaan menerusi rakan strategik seperti Maybank, CapBay, Funding Societies dan Boost.

“Malah, inisiatif ini turut mendapat kerjasama lebih 50 persatuan perniagaan di seluruh negara,” kata Gobind dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, selari dengan pelaksanaan BDI, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) juga bakal memulakan proses Digital Maturity Assessment di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor dan Selangor, melibatkan lebih 30,000 PKS yang telah menyatakan minat untuk menerima bantuan digitalisasi.

Ujarnya, penilaian itu akan diperluaskan ke seluruh negara dalam fasa seterusnya.

“Inisiatif ini merupakan langkah proaktif kerajaan untuk memperkukuh daya tahan PKS yang kini berdepan cabaran ketidaktentuan ekonomi global serta tindakan tarif baharu oleh Amerika Syarikat.

“Langkah-langkah ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memampankan serta memperkasa sektor PKS yang merupakan tunjang ketahanan ekonomi negara,” jelasnya.

Beliau turut menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan sokongan tambahan kepada sektor PKS yang diumumkan baru-baru ini.

Bantuan itu meliputi jaminan tambahan sebanyak RM1 bilion di bawah Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan bagi memudahkan akses PKS kepada pembiayaan; pembiayaan pinjaman mudah tambahan sebanyak RM500 juta melalui institusi kewangan pembangunan serta suntikan dana sebanyak RM50 juta kepada MATRADE untuk membantu perusahaan tempatan mengembangkan pasaran ke peringkat antarabangsa melalui penyertaan dalam ekspo, pameran dan padanan perniagaan.

Usaha bersepadu itu juga diharap mampu menjadi pemangkin kepada daya saing PKS tempatan dalam ekosistem ekonomi digital yang semakin mencabar.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button