Kerajaan Perancis tumbang lagi, Presiden cari PM baharu
PARIS – Perdana Menteri Perancis, Francois Bayrou, tewas dalam undi tidak percaya di Parlimen selepas beberapa jam memberi amaran bahawa negara itu kini berdepan krisis hutang yang disifatkan seperti ‘telur di hujung tanduk’.
Kekalahan itu menjadi tamparan hebat kepada krisis politik Perancis sekaligus memaksa Presiden Emmanuel Macron mencari calon baharu bagi mengisi jawatan perdana menteri buat kali kelima dalam tempoh kurang dua tahun.
Bayrou yang baru sembilan bulan memegang jawatan berkenaan dijangka menyerahkan surat peletakan jawatannya hari ini, menurut pejabat beliau.
Pejabat Presiden pula memaklumkan pengganti baharu akan diumumkan dalam beberapa hari akan datang.
Undi tidak percaya itu diluluskan selepas 364 wakil rakyat di Parlimen menentang Bayrou manakala hanya 194 yang menyokongnya.
Sebelum itu Bayrou menyatakan rancangan kerajaan Bayrou untuk memotong perbelanjaan negara berjumlah kira-kira €44 bilion (RM217 bilion) bagi mengurangkan hutang negara.
Rancangan bajet tersebut bertujuan mengekang defisit Perancis yang hampir dua kali ganda daripada had tiga peratus ditetapkan Kesatuan Eropah, selain hutang awam yang mencecah 114 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).
Bayrou, 74, merupakan Perdana Menteri keenam sejak Macron mula menerajui Perancis pada 2017.
Kejatuhannya dijangka menambah tekanan politik dalaman kepada Macron pada saat beliau giat memimpin usaha diplomatik berhubung perang Ukraine.
Sebelum undian dijalankan, Bayrou memberi peringatan kepada ahli Parlimen:
“Anda mempunyai kuasa untuk menjatuhkan kerajaan, tetapi anda tidak mempunyai kuasa untuk memadamkan realiti.
“Perbelanjaan akan terus meningkat dan beban hutang yang sudah tidak tertanggung akan semakin berat serta mahal.”
Ketua parti sayap kiri tegar France Unbowed, Jean-Luc Melenchon, menerusi hantaran di X berkata:
“Kini Macron berada di barisan hadapan berdepan rakyat. Dia juga mesti berundur.”
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








