Kerajaan pandang serius laporan media antarabangsa Meta jana pendapatan daripada iklan penipuan, scam
PUTRAJAYA – Kerajaan memandang serius laporan agensi berita antarabangsa bahawa syarikat gergasi media sosial, Meta, menjana pendapatan daripada iklan bersifat penipuan atau scam.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pihaknya meneliti maklumat itu sebagai asas untuk memanggil pihak Meta memberi penjelasan secara menyeluruh.
“Saya kesal laporan ini keluar semalam kerana MCMC dan beberapa pihak baru sahaja selesai sesi bersama Meta di Singapura.
“Namun, laporan yang sebenarnya sangat menggemparkan ini akan kita teliti dan dijadikan asas untuk memanggil pihak Meta memberi penjelasan penuh,” katanya, hari ini.
Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan berkata demikian ketika sidang media pasca kabinet, di sini hari ini.
Beliau turut memberitahu beliau sendiri pernah menyatakan secara terbuka, termasuk di Parlimen, mengenai anggaran jumlah keuntungan Meta di Malaysia pada 2023 yang dipercayai sekitar RM2.5 bilion.
“Setakat ini kita tidak melihat apa-apa kenyataan yang memberangsangkan daripada pihak Meta, malah hanya penafian bahawa angka-angka itu bukan dalam konteks sebenar, tetapi ini tidak memadai,” ujarnya.
Fahmi kemudiannya menjelaskan, apabila Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA) dikuatkuasakan tidak lama lagi, platform seperti Meta akan dipertanggungjawabkan secara undang-undang bagi memastikan kemudaratan dalam talian seperti penipuan dan perjudian tidak lagi berleluasa.
Menurut laporan agensi berita antarabangsa itu berdasarkan dokumen dalaman Meta, kira-kira 10 peratus pendapatan tahunan syarikat berkenaan diperoleh daripada iklan berbentuk penipuan, scam dan barangan yang diharamkan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






