Berita Semasa

Kerajaan Madani umum BKKA RM500 untuk penjawat awam Terengganu

PUTRAJAYA – Kerajaan Madani bersetuju membiayai Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) sebanyak RM500 kepada lebih 14,000 penjawat awam Kerajaan Negeri Terengganu.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, bantuan tersebut akan disalurkan sebelum Hari Raya Aidilfitri bagi membantu penjawat awam membuat persiapan menyambut perayaan.

“Kerajaan Madani kekal komited dengan prinsip kesaksamaan dan pendekatan yang manusiawi agar kemakmuran negara dapat dirasai secara bersama, sejajar dengan wawasan menaikkan lantai dalam kerangka Ekonomi Madani,” menurut kenyataan itu.

BKKA itu diumumkan susulan lawatan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ke Terengganu pada 21 Mac lalu.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri Terengganu tidak mengumumkan sebarang pemberian bonus kepada penjawat awam dalam pembentangan Belanjawan 2025.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata situasi kewangan kerajaan negeri ketika ini memerlukan setiap perbelanjaan mendapatkan kelulusan daripada Kementerian Kewangan (MOF).

“Dalam banyak keadaan, apa yang kita nak umumkan dari segi angka dan jumlah itu, kita kena mohon dahulu (MOF), dapatkan pengesahan bahawa ia akan diberi barulah kita laksanakan, ” katanya lagi.

Inisiatif BKKA itu dilihat sebagai langkah kerajaan Madani dalam menghargai sumbangan penjawat awam yang berkhidmat dengan penuh dedikasi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button