
Kerajaan lulus RM1 bilion kepada MADA rancakkan produktiviti pengeluaran padi – PM Anwar
KUALA LUMPUR – Kerajaan sudah meluluskan RM1 bilion untuk disalurkan kepada Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) sebagai insentif untuk merancakkan produktiviti pengeluaran padi di Kedah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, program peningkatan produktiviti itu akan dilancarkan pada akhir bulan ini.
“(Ini) usaha kita untuk meningkatkan produktiviti. Kita telah luluskan RM1 bilion untuk MADA ini yang kita akan luncurkan (program berkenaan pada) akhir bulan ini Insya-Allah.
“Ia supaya kawasan sawah yang ada penambahan RM1 bilion itu boleh menjamin penambahan produktiviti.
“Sekurang-kurangnya usaha itu dapat memenuhi daripada sekitar 56 peratus keperluan tempatan sekarang kepada 70 peratus,” katanya.
Anwar berkata demikian pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) yang meminta Perdana Menteri menyatakan apakah kerajaan bercadang untuk mengkaji semula dasar sedia ada iaitu penghasilan 70 peratus beras tempatan dan pengimportan 30 peratus beras luar untuk kegunaan rakyat di negara ini.
Anwar kemudian turut menafikan kerajaan tidak berbuat apa-apa bagi menangani isu kenaikan drastik kos input pertanian seperti baja, racun dan jentera.
“Seperti kita tahu, tidak ada langkah yang tegas dan pernah dibuat sebelum ini untuk menaikkan (bantuan) termasuk pada 2020, 2021 dan 2022. Tidak ada yang drastik.
“Hanya setelah Kerajaan Madani naik, barulah bantuan khas, sumbangan tunai ditambah RM228 juta pada 2023 dan ditambah pada 2024 RM600 ringgit setahun bagi setiap pesawah. Ia belum dibuat sebelum ini,” katanya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |