
Kerajaan lancar Garis Panduan Penapisan Filem yang baharu
PUTRAJAYA – Kerajaan hari ini memperkenalkan Garis Panduan Penapisan Filem baharu bagi memastikan penggiat seni menghasilkan karya berkualiti dan mempunyai nilai estetika tanpa perlu menyentuh sensitiviti masyarakat negara ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tiga teras utama diterapkan dalam garis panduan baharu penapisan filem iaitu keselamatan dan ketenteraman awam, keagamaan serta moral dan sosiobudaya.
“Hasrat sebenar Lembaga Penapis Filem (LPF) adalah meminimakan arahan penggubahan agar tidak jejas nilai estetika sesebuah karya.
“Kita benarkan kreativiti penggiat seni dan dalam proses ini, tentunya garis panduan ditambah baik dari terdahulu,” katanya ketika berucap melancarkan Garis Panduan Penapisan Filem baharu tersebut, di sini hari ini.
Beliau berkata, garis panduan ini adalah bagi menggantikan garis panduan lama yang diumumkan pada 2010 dan menetapkan bahawa perkara yang disepakati dalam Perlembagaan seperti soal Islam sebagai agama Persekutuan, peranan institusi raja dan bahasa tidak dipertikai dalam kandungan filem.
Tambahnya, garis panduan baharu ini turut mendapat input daripada pelbagai pihak, antaranya pemain industri, ahli akademik dan badan bukan kerajaan (NGO).
“Garis panduan baharu ini telah ditambah baik dari yang terdahulu dan ini bukan keputusan unilateral, proses libat urus itu dibuat dengan semua peringkat pemegang taruh industri perfileman tempatan,” katanya lagi.
Berdasarkan buku Garis Panduan Penapisan Filem baharu yang diedarkan, kandungan filem hendaklah tidak menyemarakkan isu perkauman, ketegangan politik dan kesalahfahaman terhadap agama.
Selain itu, kandungan filem hendaklah tidak menyentuh gaya hidup liar, tidak berpedoman, songsang dan bertentangan dengan budaya yang boleh merosakkan nilai murni masyarakat.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |