
Kerajaan Johor salur RM11.2 juta bantu mangsa banjir
JOHOR BAHRU – Kerajaan Negeri Johor mengumumkan peruntukan khas sebanyak RM11.2 juta bagi membantu mangsa banjir serta peniaga bazar Ramadan dan Aidilfitri yang terjejas akibat bencana Monsun Timur Laut (MTL) Gelombang Kelima.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, bantuan itu bagi meringankan beban 13,089 mangsa banjir daripada 3,749 keluarga yang kini berlindung di 100 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di enam daerah terjejas.
Beliau berkata, sebagai bantuan segera, setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang berdaftar di PPS akan menerima bantuan kewangan sebanyak RM3,000 sebelum Hari Raya Aidilfitri.
“Bantuan ini adalah hasil kerjasama antara Kerajaan Negeri Johor, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), dan Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ).
“Selain mangsa banjir, Kerajaan Negeri turut menyalurkan bantuan sebanyak RM500 kepada setiap peniaga bazar Ramadan dan Aidilfitri yang terjejas di kawasan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT),” katanya dalam kenyataan di Facebooknya.
Dalam pada itu, seramai 441 peniaga di kawasan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Majlis Daerah Kota tinggi (MDKT) akan menerima bantuan RM500.

“Jumlah mereka yang terlibat adalah 48 peniaga di Bazar Tebing Dato’ Onn; Bazar Jalan Pandan Ria 3 (30); Bazar Jalan Mata Kucing, Kampung Pasir (66); Bazar Pesiaran Dahlia (150); Bazar Aidilfitri MDKT (147).
“Selain itu, Kerajaan Negeri turut memberikan pengecualian caj kepada 9,839 peniaga bazar di seluruh negeri Johor untuk membolehkan mereka bangkit semula selepas bencana.
“Langkah ini melibatkan sembilan PBT termasuk MBJB, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Majlis Bandaraya Pasir Gudang, dan beberapa majlis perbandaran lain,” katanya.
Mengulas lanjut, Onn Hafiz berkata, enam masjid, 17 surau, dan 43 institusi pendidikan termasuk sekolah agama, sekolah rendah, sekolah menengah, serta kolej vokasional yang terjejas akibat banjir juga akan menerima bantuan baik pulih daripada Kerajaan Negeri.
“Bagi mangsa banjir yang tidak mendaftar di PPS, mereka masih boleh mengemukakan permohonan rayuan di Pejabat Daerah masing-masing sehingga akhir April 2025.
“Kerajaan Johor akan terus berusaha membantu mangsa banjir dan memastikan kesejahteraan rakyat Johor sentiasa terpelihara,” katanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |