
Kerajaan dijangka bentang RUU Optometri Oktober depan
PUTRAJAYA – Kerajaan dijangka akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Optometri di Parlimen, Oktober depan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, RUU itu akan menjadi kerangka undang-undang khusus bagi mengawal selia semua aspek profesion optometri di Malaysia.
“Ia akan menjadi Akta tersendiri yang mentadbir amalan, latihan, pendaftaran dan skop tugas bagi ahli optometris, yang berbeza daripada optisyen,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Garis Panduan Perkhidmatan Penjagaan Mata Primer bagi Profesion Optometri, hari ini, lapor BERNAMA.
Tambahnya, RUU itu akan turut merangkumi aspek penjualan produk optik secara dalam talian serta peruntukan penguatkuasaan dan penalti bagi melindungi keselamatan pengguna.
“Perundangan ini amat penting bagi mengangkat profesion optometri sebagai satu bidang yang diiktiraf, berkelayakan, selamat dan berkesan,” katanya lagi.
Mengenai garis panduan yang dilancarkan hari ini, Dr. Dzulkefly menyifatkannya sebagai satu langkah strategik ke hadapan, yang meletakkan asas kukuh bagi kerangka amalan optometri swasta yang beretika, berasaskan bukti dan selamat.
Tambahnya, pelaksanaan sistem pentauliahan dan pemberian keistimewaan klinikal akan memastikan hanya ahli optometris yang berkelayakan dan kompeten diberikan tanggungjawab klinikal tertentu.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |