
Kerajaan cari jalan atasi kelewatan MEX II
BUKIT KAYU HITAM – Kerajaan sedang berusaha mengatasi kelewatan berpanjangan projek sambungan Lebuhraya Maju (MEX II) yang kini terbengkalai.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kerajaan sedang bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan bagi menyegerakan penyiapan lebuh raya yang menghubungkan Putrajaya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tersbut.
Beliau turut mengakui projek lebuh raya itu berdepan isu aliran tunai berpanjangan yang menyebabkan kerja-kerja pembinaan terhenti.
“Ya, seperti yang semua maklum, projek MEX II menghadapi isu penyempurnaan.
“Tetapi berita baiknya ialah semua pihak terbabit termasuk Kementerian Kewangan, Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang giat berusaha menyelesaikan perkara ini,” katanya pada lawatan kerja di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), di sini hari ini.
Nanta berkata, pemaju projek juga sedang mempercepat usaha mendapatkan sumber pembiayaan baharu bagi meneruskan semula kerja pembinaan.
“Buat masa ini, perkara ini masih berada dalam fasa penyelesaian, jadi saya tidak mahu mengulas secara terperinci lagi,” tambahnya.
Jelas beliau, beberapa siri mesyuarat penting dijangka berlangsung dalam masa terdekat, yang akan dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya.
“Mesyuarat itu dijangka menentukan hala tuju seterusnya, kita akan lihat perkembangan selepas itu,” katanya lagi.
Projek Lebuhraya MEX 2 sepanjang 18 kilometer dimulakan pembinaannya pada 2016, dijadualkan pada awalnya dijangka siap pada Disember 2019, namun pembinaannya terjejas akibat masalah kewangan dan kini berada di bawah siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Laporan media sebelum ini menyebut, syarikat pemaju terlibat disiasat berhubung dakwaan tuntutan palsu membabitkan RM360 juta.
Empat individu, termasuk seorang bergelar ‘Datuk Seri’, telah ditahan berkaitan siasatan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan dana yang diperoleh melalui penerbitan sukuk untuk projek tersebut.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |