Kerajaan benar pekerja asing tukar majikan rentas sektor berkuat kuasa serta-merta
PUTRAJAYA – Kerajaan kini membenarkan pekerja asing memohon pertukaran majikan merentasi sektor penggajian, berbanding hanya dalam sektor sama sebelum ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan itu dibuat hasil perbincangan bersama Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), selepas meneliti amalan terbaik disarankan organisasi buruh antarabangsa serta negara maju lain.
“Sebelum ini, pertukaran majikan hanya dibenarkan dalam sektor sama atas beberapa alasan seperti penstrukturan, penutupan atau pembesaran syarikat, serta kelulusan Jawatankuasa Jabatan Tenaga Kerja.
“Dengan penambahbaikan ini, pekerja asing kini dibenar membuat permohonan pertukaran merentasi sektor penggajian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.
Dalam pada itu, kerajaan turut mewajibkan majikan untuk mengurus proses daftar keluar pekerja asing, sama seperti mereka mengurus kemasukan pekerja sebelum ini.
“Majlis bersetuju dengan syor Jabatan Imigresen Malaysia agar proses pengurusan Check Out Memo (COM) diperkasa.
“Majikan kini diwajibkan hadir di pintu keluar antarabangsa bagi mengurus pendaftaran keluar pekerja asing. Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan permohonan kuota baharu disekat, selain urusan imigresen lain,” jelasnya.
Mesyuarat selama dua jam itu turut dihadiri Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Sebanyak empat Kertas Pertimbangan dibincangkan, manakala dua Kertas Makluman diambil perhatian.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







