BERITA SEMASADALAM NEGERI

Kerajaan belanja RM1.2 bilion baik pulih, bina rumah baharu dalam masa dua tahun

PUTRAJAYA – Sebanyak 34,470 unit rumah telah dibaik pulih dan dibina baharu dalam tempoh dua tahun melibatkan peruntukan berjumlah RM1.02 bilion.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, daripada jumlah itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah membaik pulih 4,814 unit rumah dan membina 245 unit rumah baharu dengan jumlah peruntukan RM104.4 juta.

Menurut Kor Ming, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) juga telah melaksanakan baik pulih bagi 23,458 unit rumah dan bina baharu 5,953 unit rumah dengan jumlah peruntukan sebanyak RM920.4 juta sejak tahun lepas.

“Ini menunjukkan komitmen kerajaan MADANI dalam meningkatkan taraf hidup rakyat khususnya untuk golongan miskin dan miskin tegar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, KPKT melalui PLANMalaysia telah mengambil tindakan proaktif untuk memperkasakan komuniti desa melalui Sistem Ciri-Ciri Spatial Desa Malaysia (S-CHARMs) dengan sejumlah 19,474 maklumat sempadan dan profil kampung dicerap.

Kor Ming berkata, S-CHARMs diintegrasikan dengan Sistem Profil Kampung Peringkat Nasional di bawah seliaan KKDW untuk meningkatkan aktiviti perancangan dan pembangunan dalam penyediaan kemudahan awam dan infrastruktur di kawasan kampung.

“S-CHARMs mampu mempercepatkan pelaksanaan projek kemudahan dan infrastruktur asas serta membolehkan perancangan pembangunan kawasan desa berpandukan data sebenar,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button