Berita SemasaPM X

Kerajaan ambil inisiatif tambah koleksi Perpustakaan Syed Muhammad Naquib Al-Attas

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mengambil inisiatif untuk mengumpul serta meningkatkan koleksi Perpustakaan Syed Muhammad Naquib Al-Attas di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Hasrat tersebut dizahirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan perpustakaan itu dijangka akan memiliki lebih daripada 150,000 koleksi.

“Semoga Allah SWT senantiasa memberikan kesihatan yang baik kepada beliau. Bagi pihak peribadi dan Kerajaan, saya ingin menyampaikan rasa terima kasih dan penghargaan setingginya atas dedikasi perjuangan keilmuan beliau sehingga ke hari ini.

“Saya amat berharap karya-karya monumental Profesor Al-Attas dapat terus dimanfaatkan oleh para peneliti dan generasi muda dalam usaha membangun bangsa yang bermaruah dan kuat,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook milik beliau hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri menghadiri Syarahan Perdana Profesor Diraja Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas “Islam: The Covenant Fulfilled” di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, malam tadi.

Menurut Anwar, ia merupakan suatu kehormatan yang besar buat diri beliau dalam meraikan pemikir seperti Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas yang sebelumnya pernah menggambarkan Zaaba sebagai ‘pemukul rebana’.

“Alhamdulillah, malam tadi saya berkesempatan mendengarkan syarahan extempore beliau mengenai karya beliau yang terkini yakni ‘Islam: The Covenants Fulfilled’.

“Dalam syarahan ini, beliau mengupas ayat-ayat suci Al-Qur’an yang berkaitan dengan kemanusiaan, jasad dan ruh, serta landasan kalimah syahadat yang dibawa oleh Junjungan Besar Rasulullah SAW yang dibandingkan dengan para nabi sebelumnya.

“Buku ini mengupas secara mendalam konsep Islam sebagai pemenuhan perjanjian primordial (mithaq) antara Tuhan dan manusia, yakni sebuah gagasan utama dalam teologi Islam,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Anwar turut berkongsi pengalaman peribadi beliau pada masa muda, iaitu ketika semangat kebangkitan Islam sedang tumbuh sebagai fenomena besar.

“Pada saat itu, ABIM lahir dari kesedaran bahawa Islam adalah kesempurnaan akidah dan cara hidup, di mana seorang Muslim harus hidup berdasarkan prinsip tauhid.

“Meskipun menghadapi berbagai tantangan, lantas kami tidak pernah berhenti mengangkat serta menyemarak pemikiran Profesor Syed Muhammad Naquib, terutama melalui karya-karya beliau seperti ‘Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu’— yang, secara kebetulan, menjadi buku teks bagi semua guru ketika saya menjabat sebagai Menteri Pendidikan—dan ‘Risalah untuk Kaum Muslimin’, serta banyak karya penting lainnya,” kata Anwar.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button