
Kerajaan akan wartakan had laju maksimum 30km/j di kawasan sekolah
SEREMBAN – Kerajaan akan mewartakan kadar had laju maksimum di kawasan sekolah daripada 50 kepada 30 kilometer sejam (km/j) dalam masa terdekat.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, keputusan itu sedang dalam proses pewartaan, tetapi keputusan dasar telah dibuat melalui Jawatankuasa Kabinet Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya, lapor BERNAMA.
“Dalam Jawatankuasa Kabinet Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya, kita telah membuat keputusan dasar untuk merendahkan had kelajuan di semua kawasan zon sekolah daripada 50km sejam kepada 30km sejam.
“Satu kajian berasaskan data saintifik telah dibuat, di mana jika kelajuan dapat dikurangkan kepada 30km sejam, risiko kematian atau akibat daripada kemalangan agak rendah. Setiap pertambahan 10km kelajuan akan meningkatkan risiko kematian,” katanya.
Beliau berkata demikian mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Malaysia kali Ke-61, di sini hari ini.
Selain mewartakan had kelajuan maksimum, pihak berkuasa juga perlu menyediakan kemudahan dan keperluan infrastruktur jalan raya di kawasan zon sekolah seperti papan tanda amaran dan garisan kuning, supaya pengguna jalan raya sedar dan memperlahankan kenderaan mereka.
Secara purata, jelas Anthony, kemalangan maut di kawasan sekolah adalah sebanyak 70 kes setiap tahun.
Sementara itu, Loke berkata, mesyuarat MKJR hari ini memberi fokus kepada inisiatif keselamatan jalan raya berasaskan masyarakat tempatan antaranya program My Safe Road, iaitu intervensi di kawasan berisiko tinggi untuk meminimumkan kematian dan kecederaan parah dalam kemalangan jalan raya.
“Selain itu, MKJR juga akan menumpukan kepada Zon Sekolah Selamat dan Program Fellowship Kepimpinan Keselamatan Jalan Raya, untuk melahirkan pemimpin muda yang boleh menerajui inisiatif keselamatan jalan raya berasaskan Pendekatan Sistem Selamat,” katanya.
Pendekatan sedemikian terbukti berkesan dalam mengurangkan kadar kematian akibat kemalangan jalan raya di negara maju, namun ia memerlukan anjakan paradigma iaitu bukan sekadar menyalahkan sikap pemandu tetapi turut memberi penekanan kepada penambahbaikan sistem secara menyeluruh termasuk aspek keadaan jalan kenderaan had kelajuan dan pematuhan undang-undang.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |