Berita Semasa

Keperluan berbeza, YKN salur bantuan menurut keperluan mendesak mangsa

SUBANG JAYA – “Anak istimewa saya mengalami masalah rongga hidung dan lelangit yang tidak normal, kebakaran di Putra Heights menyebabkan keadaannya kesihatannya terjejas,” luah seorang ibu yang juga mangsa tragedi tersebut.

Itu antara luahan yang diterima oleh kaunselor Yayasan Kebajikan Negara (YKN) sejak Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) yang mula beroperasi tiga hari lalu di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights.

Dalam tempoh itu, pasukan kaunselor dan sukarelawan YKN giat menjalankan intervensi psikososial kepada mangsa kebakaran paip gas bocor yang kini bergelut dengan tekanan, trauma dan kehilangan tempat tinggal juga kenderaan.

Ketua Pegawai Eksekutif YKN, Nordina Haron berkata, kehadiran individu dan syarikat yang pemurah dalam memberikan sumbangan tunai membolehkan YKN membekalkan keperluan penting kepada mangsa.

“Pelbagai keperluan mendesak telah dikenal pasti hasil sesi kaunseling bersama mangsa. Setiap mangsa mempunyai keperluan berbeza, dan bantuan disalurkan berdasarkan keutamaan mereka, termasuk keperluan perubatan dan sokongan psikososial,” katanya di sini hari ini.

Sukarelawan YKN membantu mangsa kebakaran Putra Heights hari ini.

Menurut Nordina, ada dalam kalangan mangsa merupakan ibu yang baru melahirkan anak, ada juga individu orang kurang upaya (OKU) yang memerlukan bantuan khas dan bayi yang memerlukan susu formula khusus.

“Alhamdulillah, pasukan YKN bersama para sukarelawan segera membantu membekalkan keperluan-keperluan ini,”katanya.

Kata Nordina, YKN turut membekalkan pelbagai barangan harian penting yang dimohon seperti pakaian dalam, selipar, minyak sapu (minyak cap kapak dan minyak telon), kipas mini elektrik, dan kabel pengecas bagi memastikan keselesaan mangsa sepanjang berada di PPS.

“Ramai mangsa yang mengalami sakit kepala akibat tekanan dan kerunsingan. Bantuan yang diberikan hasil sumbangan orang ramai ini memberi kelegaan kepada mangsa,” tambah beliau.

Jelasnya, sebilangan besar mangsa merupakan keluarga daripada kumpulan B40 dari Kampung Sungai Baru juga tidak melepaskan peluang menemui kaunselor untuk mendapat khidmat psikososial.

Sehubungan itu YKN menzahirkan penghargaan kepada penderma yang hadir ke PSSS untuk menghulurkan sumbangan secara langsung – baik dari individu mahupun organisasi korporat.

“Kami juga amat tersentuh apabila melihat kanak-kanak kecil datang menyerahkan wang tabungan mereka sendiri, hanya kerana mahu membantu mangsa yang lebih susah. Solidariti ini sangat luar biasa dan menyentuh hati,” kata Nordina.

Pada masa sama YKN turut mengalu-alukan sumbangan berterusan daripada individu dan syarikat korporat yang ingin menghulurkan bantuan. Setiap sumbangan tunai layak mendapat resit pengecualian cukai di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Sumbangan juga boleh disalurkan secara online dengan menghubungi Unit Dana dan Komunikasi Korporat di talian 019-2914339.

Untuk penyumbang barangan fizikal, orang ramai dinasihatkan untuk terlebih dahulu menghubungi pihak Pusat Penempatan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights agar barangan yang dihantar menepati keperluan semasa dan tidak berlaku lambakan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button