AUTOMOTIF & TEKNOLOGIBERITA SEMASA

Kepercayaan jadi teras utama Malaysia dalam era kecerdasan buatan

KUALA LUMPUR – Malaysia menegaskan komitmen untuk membina masa depan digital yang berteraskan kepercayaan, menjadikan ia asas kepada pembangunan kecerdasan buatan (AI) dan tadbir urus data negara.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, dalam era yang dikenali sebagai Intelligent Age, kepercayaan bukan lagi pilihan tetapi menjadi prasyarat kejayaan sistem digital dan teknologi masa depan.

“Kepercayaan adalah sistem operasi kepada kemajuan. Tanpa kepercayaan, sistem runtuh, data terasing, inovasi terhenti dan keyakinan awam terhakis,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada PwC Malaysia’s AI Leadership Conference 2025 di Hotel Majestic, di sini hari ini.

Menurut Gobind, AI moden beroperasi dalam persekitaran yang dinamik dan autonomi, menjadikan keperluan terhadap struktur tadbir urus yang telus dan boleh dipertanggungjawabkan semakin mendesak.

“Kepercayaan tidak boleh diandaikan. Ia perlu direka dengan teliti, ditadbir secara aktif dan disahkan secara berterusan.

“Asas kepada sistem digital yang dipercayai ialah data – bukan sekadar maklumat, tetapi DNA kepada teknologi pintar yang mencorakkan keputusan, perkhidmatan dan dasar,” katanya lagi.

Gobind turut menggariskan beberapa langkah proaktif kerajaan termasuk pemodenan Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) serta pengenalan Akta Perkongsian Data bagi membolehkan pertukaran maklumat secara selamat dan beretika.

“Kita tidak lagi melihat data sebagai isu teknikal semata-mata. Ia adalah keperluan strategik negara,” katanya lagi.

Beliau menambah, Malaysia kini membina kerangka kepercayaan digital yang mengiktiraf data sebagai kepentingan awam dan menekankan tadbir urus sebagai tanggungjawab bersama antara kerajaan, industri dan masyarakat.

“Dalam usaha memperkukuh kepercayaan, Malaysia turut membangunkan Artificial Intelligence Governance and Ethics (AIGE) Framework yang menekankan prinsip keterangkuman, ketelusan, keadilan dan keselamatan,” katanya lagi.

Pejabat AI Negara (NAIO) juga telah menubuhkan enam kumpulan kerja khas merangkumi kedaulatan, keselamatan dan dasar AI, dengan penglibatan lebih 170 pakar pelbagai sektor.

“Malaysia serius mahu menjadi negara yang bukan sahaja berkeupayaan digital, tetapi juga boleh dipercayai dalam dunia digital,” tegasnya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button