BERITA SEMASADALAM NEGERI

Kenaikan tarif import AS: Malaysia perlu bijak ambil peluang

KETIKA dunia sedang dalam proses pemulihan ekonomi pasca pandemik, satu lagi cabaran besar melanda apabila dasar perdagangan proteksionis Amerika Syarikat (AS) yang kembali menyasarkan tarif import lebih tinggi terhadap negara-negara dagang utama termasuk China.

Langkah yang diambil Presiden AS, Donald Trump itu bukan sahaja mencetuskan ketegangan dagang, malah memberi kesan berantai kepada ekonomi global, begitu juga Malaysia.

Negara kita yang bergantung kepada perdagangan luar, khususnya dalam sektor eksport seperti elektronik, perkilangan dan komoditi, berdepan risiko ketidaktentuan pasaran.

Pertumbuhan ekonomi negara mungkin agak perlahan disebabkan kenaikan tarif import AS, namun pakar menjangkakan ia tidak sampai ke tahap kemelesetan.

Namun dalam kesuraman ini, terselit juga sinar peluang sekiranya strategi perdagangan dan pelaburan negara dirancang dengan teliti.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Amerika Syarikat mula mengamalkan pendekatan ekonomi yang lebih tertutup dengan memperkenalkan pelbagai tarif ke atas barangan import, terutamanya dari China.

Ia bertujuan untuk melindungi industri tempatan, mengurangkan defisit perdagangan dan mengekang dominasi ekonomi negara tembok besar itu.

Antara sasaran utama tarif ialah sektor teknologi, keluli, aluminium dan barangan pengguna. Malaysia yang merupakan rakan dagang aktif bagi banyak negara, termasuk AS dan China, kini berada dalam kedudukan yang sensitif tetapi strategik.

Prof Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff

Menurut Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Putra Business School (PBS), Prof Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff, kesan daripada kenaikan tarif ini bergantung kepada jenis produk yang dieksport oleh Malaysia.

“Produk seperti semikonduktor, farmaseutikal dan berasaskan tenaga dikecualikan daripada tarif, jadi tidak terjejas secara langsung. Namun, sektor lain seperti barangan getah, perabot dan komponen mungkin mengalami penurunan permintaan,” ujar beliau ketika dihubungi Malaysia Tribune.

Menariknya, Dr. Razman turut menyatakan bahawa dalam sesetengah kes, produk Malaysia boleh mendapat manfaat.

“Contohnya, komoditi seperti minyak sawit dan sarung getah mungkin akan meningkat permintaannya kerana negara pesaing dikenakan tarif yang lebih tinggi, menjadikan produk kita lebih kompetitif dari segi harga,” jelasnya.

Sebagai langkah jangka panjang, Malaysia juga perlu bijak memanfaatkan kedudukannya dalam pakatan ekonomi serantau dan global.

Komoditi seperti minyak sawit negara mungkin akan meningkat permintaannya kerana negara pesaing dikenakan tarif yang lebih tinggi.

Beliau mencadangkan agar Malaysia mengambil peluang sebagai Pengerusi ASEAN serta melalui keahlian dalam beberapa perjanjian perdagangan bebas.

“Antaranya Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) iaitu perjanjian perdagangan bebas terbesar dunia yang menggabungkan 15 negara Asia-Pasifik termasuk Malaysia, China, Jepun dan Australia; Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) iaitu perjanjian perdagangan antara 11 negara di sekitar Lautan Pasifik yang membuka pasaran luas kepada barangan dan pelaburan.

“Tidak ketinggalan melalui BRICS (Brazil, Rusia, India, China, Afrika Selatan). Walaupun Malaysia bukan ahli, ia boleh membina hubungan perdagangan strategik dengan negara-negara ini bagi mengurangkan kebergantungan kepada ekonomi Amerika Syarikat,” jelas Dr. Razman.

Dalam pada itu, perubahan dasar tarif AS juga memberi impak kepada pelaburan langsung asing.

“AS kini bercadang menyekat strategi syarikat berpangkalan di China memindahkan operasi ke negara lain seperti Malaysia untuk mengelak tarif.

“Oleh itu, Malaysia perlu menarik pelabur dengan menjadikan negara kita sebagai pintu masuk ke pasaran Asia Pasifik dan rantau lain,” jelas Dr Razman lagi.

Ditanya sama ada Malaysia boleh mengambil peluang daripada krisis ini, Dr. Razman menjawab dengan optimis.

Malaysia perlu bijak menarik pelabur asing dengan menjadikan negara kita sebagai pintu masuk ke pasaran Asia Pasifik dan rantau lain.

“Ya, kita ada potensi terutama dalam sektor semikonduktor, komoditi dan nadir bumi. Tapi yang lebih penting, kita kena kenal pasti di mana permintaan produk Malaysia akan meningkat,” katanya.

Bagaimanapun, tambah beliau dari sudut domestik, kesan rantaian bekalan global akibat tarif tersebut mungkin menyebabkan pertumbuhan ekonomi sedikit perlahan

“Namun ia tidak sampai ke tahap kemelesetan. Nilai ringgit pula berpotensi untuk mengukuh jika negara lain mengurangkan kebergantungan kepada dolar AS. Inflasi dijangka meningkat sedikit, tetapi masih dalam kawalan,” ujarnya.

Kesimpulannya, kenaikan tarif import Amerika Syarikat sememangnya membawa cabaran yang perlu ditangani secara berhati-hati.

Namun, ia juga membuka ruang untuk Malaysia menyusun semula keutamaan perdagangan, mengukuhkan kerjasama serantau dan menarik pelabur asing yang ingin meneroka pasaran Asia.

Yang penting, Malaysia perlu bergerak pantas dan strategik dalam menghadapi realiti ekonomi global yang semakin kompleks dan saling bergantung.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button