
Kemusnahan Gaza: Erdogan tuntut Israel bayar ganti rugi lebih RM440 bilion
PUTRAJAYA – Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menuntut kerajaan Israel agar membayar lebih RM440 bilion sebagai ganti rugi di atas kemusnahan yang dilakukan di Gaza.
Erdogan berkata, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu perlu bertanggungjawab selepas hampir 80 peratus bangunan di Gaza musnah akibat daripada perang yang berlangsung lebih 400 hari.
Berucap di hadapan kira-kira 3,000 tetamu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini, Erdogan berkata, lebih 61 ribu orang yang tidak bersalah telah syahid di Gaza.
“Sekolah, gereja, masjid, universiti dibom dan hampir 80 peratus bangunan di Gaza musnah, manakala terdapat lebih daripada 50 juta tan serpihan. Kos kewangan kemusnahan di Gaza adalah kira-kira AS$100 bilion.
“Israel mesti membayar pampasan atas kemusnahan yang mereka lakukan dan proses pembinaan semula di Gaza mesti dimulakan dengan ini. Setiap kerosakan yang tidak dibayar akan menjadikan pelakunya lebih ganas.
“Israel dan kerajaan Netanyahu bertanggungjawab terhadap rang undang-undang yang berat ini. Israel mesti membayar bil ini sendiri,” katanya dalam syarahan umum sempena lawatan kerja dua hari Erdogan ke Malaysia yang bermula hari ini.
Acara tersebut turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya, Datuk Seri Wan Azizah Ismail serta Wanita Pertama Turkiye, Emine.
Berucap dengan lebih lanjut, Erdogan berkata, selepas menyebabkan banyak kemusnahan dan penderitaan, Israel tidak boleh dibiarkan begitu sahaja seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.
“Oleh itu, daripada mencari tempat untuk penduduk Gaza yang tidak dapat dicabutnya dari tanah mereka walaupun 15 bulan pembunuhan beramai- ramai, Netanyahu harus mencari sumber untuk menampung AS $100 bilion kerosakan yang dilakukannya di Gaza,” katanya.
Dalam ucapan yang sama, Erdogan turut menzahirkan penghargaan terhadap sokongan Malaysia terhadap Gaza dan perjuangan Palestin, serta
pendirian teguh negara dalam memerangi Islamofobia.
“Kami juga berazam untuk meneruskan hubungan kami dengan Malaysia dalam D-8 dan memperdalam kerjasama dalam pembangunan ekonomi,” ujarnya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |