Kempen Internet Selamat perkasakan pelajar hadapi ancaman digital
KUALA LUMPUR – Kerajaan melalui Kementerian Komunikasi serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) giat melaksanakan Kempen Internet Selamat (KIS) sebagai usaha memperkasa literasi digital, keselamatan siber dan melindungi generasi muda daripada kemudaratan dalam talian.
Dilancarkan pada 21 Januari 2025, kempen itu disasarkan kepada 10,000 sekolah, institusi pengajian tinggi dan Institut Pendidikan Guru (IPG) di seluruh negara.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, setakat 1 Ogos 2025, KIS telah dilaksanakan di lebih 680 institusi pendidikan melibatkan lebih 70,000 pelajar.

Menurut beliau, objektif utama KIS adalah melindungi kanak-kanak daripada eksploitasi seksual dalam talian, khususnya fenomena Child Sexual Abuse Material (CSAM) yang semakin membimbangkan.
“KIS memberi fokus kepada kesedaran, pendidikan dan pencegahan agar kanak-kanak tidak terdedah kepada pengantunan seksual serta memahami kesan psikologi yang boleh berlaku,” katanya ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, hari ini.
Selain itu, tambahnya, isu buli siber turut menjadi penekanan utama.
Ujarnya, modul KIS mendidik pelajar mengenal pasti, melaporkan serta menangani kes buli siber yang memberi kesan negatif kepada kesihatan mental, harga diri dan prestasi akademik.
Malah, ia turut diperluas meliputi aspek buli fizikal dengan menekankan nilai empati, komunikasi berhemah dan pengurusan konflik untuk melahirkan pelajar yang beretika dan saling menghormati.
“Peranan ibu bapa juga amat penting. Mereka perlu memantau penggunaan internet anak-anak, menetapkan had masa skrin serta mendidik tentang keselamatan dan privasi.
“Kerjasama semua pihak adalah kunci mewujudkan persekitaran digital yang selamat,” tegas Fahmi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








