Kempen Internet Selamat: Perisai awal cegah jenayah seksual dalam talian
KISAH tragik seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang sanggup menunggang motosikal dari Kelantan ke Kulim, Kedah untuk bertemu teman lelaki yang baru dikenalinya di media sosial, sebelum menjadi mangsa rogol, membuka mata banyak pihak tentang bahaya dunia digital kepada remaja.
Insiden ini bukan lagi kes terpencil. Sebaliknya, ia mencerminkan kegagalan masyarakat dalam menyediakan kanak-kanak dan remaja dengan pengetahuan serta perlindungan sewajarnya ketika berhadapan dengan cabaran siber yang semakin kompleks.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata, kemunculan pelbagai aplikasi media sosial baharu, teknologi manipulatif seperti deepfake serta sikap sambil lewa terhadap keselamatan digital menyebabkan kanak-kanak menjadi antara golongan paling mudah dieksploitasi secara seksual dalam talian.
Sehubungan itu, katanya, Kempen Internet Selamat yang diterajui Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) merupakan langkah penting dalam memperkukuh keselamatan siber untuk golongan bawah 18 tahun, selari dengan Malaysia Cyber Security Strategy 2025–2030.

“Statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan peningkatan mendadak kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak dalam talian sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” ujarnya kepada Malaysia Tribune.
Tambah beliau, semasa satu persidangan Cyber Games yang turut dihadiri Polis Antarabangsa (Interpol), isu berkaitan Child Sexual Abuse Material (CSAM) dibangkitkan sebagai kebimbangan global.
Katanya, Interpol turut menyuarakan kerisauan terhadap peningkatan kes apabila ibu bapa membenarkan anak-anak memuat naik gambar dan video ke internet tanpa pengawasan yang kemudiannya disalah guna oleh penjenayah siber.

“Lebih membimbangkan, dengan kecanggihan teknologi Kecerdasan Buatan (AI), kandungan-kandungan tersebut boleh dimanipulasi menjadi bahan eksploitasi yang kelihatan sahih. Penggunaan platform seperti MidJourney, Deepfake dan VO3 menunjukkan bagaimana teknologi boleh disalahgunakan,” tegasnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa selain ancaman seksual, isu seperti kesihatan mental dan ketagihan gajet dalam kalangan kanak-kanak juga perlu dijadikan sebahagian daripada perbincangan keselamatan digital.
Siraj turut menekankan bahawa kejayaan kempen tidak boleh bergantung kepada peranan kerajaan semata-mata.
“Perlindungan kanak-kanak adalah tanggungjawab kolektif. Semua pihak termasuk NGO, guru, komuniti, sektor swasta dan ibu bapa perlu berganding bahu,” katanya.

Beliau turut memberi amaran bahawa peningkatan akses internet tanpa kawalan menyumbang kepada peningkatan kadar jenayah yang dilakukan oleh kanak-kanak sendiri.
“Statistik DOSM juga menunjukkan peningkatan dalam kesalahan jenayah dalam kalangan kanak-kanak yang mempunyai kaitan langsung dengan pendedahan internet tanpa pemantauan,” jelasnya lagi.
Sehubungan itu, katanya, Kempen Internet Selamat tidak boleh hanya dijalankan secara bermusim atau sekadar formaliti tahunan.
“Usaha ini mesti memberikan impak yang boleh diukur, seperti penurunan statistik jenayah dalam talian.

“Kita tidak mahu kempen hanya gah di peringkat pelancaran tetapi gagal menghasilkan kesan jangka panjang. Matlamat kita adalah sifar kes, walaupun ia sukar — kita mesti berusaha ke arah itu,” tegasnya.
Pendekatan psiko-edukasi dan peranan ibu bapa
Sementara itu, Pengarah Pusat Psikologi dan Kaunseling, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Zulfikar Ahmad menegaskan, perlunya pendekatan psiko-edukasi yang konsisten dan berpadanan dengan realiti kehidupan digital generasi masa kini.
“Anak-anak hari ini tidak cukup sekadar dimarahi atau diberi ceramah. Mereka perlukan ilmu, kesedaran dan kefahaman tentang risiko yang wujud di alam maya,” katanya.

Beliau turut menggesa agar ibu bapa memainkan peranan lebih terbuka dengan tidak terlalu mengongkong, tetapi dalam masa sama tidak melepaskan tanggungjawab pemantauan.
“Kepercayaan perlu wujud, tetapi ia mesti diiringi bimbingan yang bijak. Jangan terlalu ketat hingga merenggangkan hubungan, dan jangan pula terlalu longgar hingga hilang kawalan,” jelasnya.
Dr. Zulfikar turut menekankan bahawa pendekatan kempen mesti beradaptasi dengan gaya hidup kanak-kanak dan remaja masa kini.
“Kalau dahulu ceramah dan pameran sudah memadai, kini kita perlu masuk ke platform seperti TikTok, Instagram, dan menghasilkan konten kreatif yang relevan dengan minat mereka. Kempen perlu disampaikan di ruang digital yang mereka aktif,” katanya.

Dalam masa sama, beliau mengakui bahawa perubahan teknologi yang terlalu pantas menjadi antara cabaran terbesar.
“Hari ini kita cipta garis panduan untuk satu aplikasi, esok muncul lima lagi platform baharu. Kawalan dan kesedaran mesti kekal relevan dan sentiasa dikemas kini,” tambahnya.
Usaha kolektif demi masa depan digital anak-anak
Justeru, Kempen Internet Selamat bukanlah sekadar inisiatif perlindungan digital tetapi ia adalah gerakan sosial untuk membina tamadun digital yang lebih selamat, sihat dan bertanggungjawab.

Hanya dengan kerjasama semua pihak, kita dapat membentuk ekosistem pendidikan dan pemantauan yang menyeluruh demi melindungi anak-anak dan menjamin masa depan negara dalam dunia maya yang semakin mencabar.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







