BERITA SEMASA

Kementerian Perpaduan Negara perkenal 2 inisiatif perkasa jati diri, semangat kenegaraan

KUALA LUMPUR – Kementerian Perpaduan Negara melalui Arkib Negara Malaysia melancarkan dua inisiatif berimpak tinggi iaitu Arkib@Sekolah dan Arkib Komuniti  bertujuan mendekatkan sejarah kepada masyarakat.

Menurut Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang, kedua-dua inisiatif itu juga diwujudkan bagi memupuk kesedaran sejarah, semangat patriotisme dan penghargaan terhadap warisan negara dari peringkat akar umbi hingga ke generasi muda.

“Inisiatif Arkib@Sekolah, yang bertemakan “Bermulanya Di Sini”, merupakan sebahagian daripada Program Arkib Pendidikan yang membawa bahan arkib asli termasuk dokumen, gambar dan artifak sejarah terus ke persekitaran sekolah.

“Matlamat utama Arkib@Sekolah adalah untuk memupuk kesedaran sejarah yang mendalam, memperkukuh identiti kebangsaan dan menanam semangat cinta negara dalam kalangan murid dan pelajar,” katanya di sini hari ini.

Melalui pameran seperti “Malaysia, Tanah Airku”, katanya, pelajar didedahkan kepada detik-detik penting sejarah negara serta tokoh-tokoh kemerdekaan.

Selain itu katanya, terdapat juga aktiviti sampingan seperti kuiz sejarah, bengkel pemuliharaan bahan arkib, teka silang kata dan sesi interaktif seperti “Kenali Wira Kemerdekaan” menjadikan proses pembelajaran lebih menyeronokkan, bermakna dan relevan.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang melancarkan Program Arkib Komuniti.

“Pelajar juga digalakkan untuk meneroka, menganalisis dan menghasilkan projek berasaskan sumber arkib yang asli, satu pendekatan yang tidak hanya memperkukuh pemahaman sejarah tetapi juga mengasah pemikiran kritikal, kreativiti dan keupayaan berfikir secara analitik.

“Serentak dengan itu, inisiatif Arkib Komuniti pula memberi ruang kepada masyarakat untuk mengurus, mendokumentasi dan memelihara warisan sejarah serta budaya tempatan mereka secara sukarela dan tersusun,” katanya.

Program tersebut mula diperkenalkan oleh Menteri Perpaduan Negara itu semasa pelancaran Program Wacana Ilmu di Melaka pada 20 Februari 2024, bersempena pengisytiharan tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 1956.

Program Arkib@Sekolah dapat membentuk generasi yang lebih berpengetahuan, berjati diri dan bertanggungjawab terhadap masa depan Malaysia.

Arkib Komuniti mengiktiraf sebahagian besar sejarah negara khususnya naratif tempatan, tradisi lisan, adat resam dan pengalaman komuniti masih belum didokumentasikan secara rasmi.

Justeru, melalui program tersebut, individu dan kumpulan komuniti digalakkan untuk membangunkan arkib mereka sendiri bagi merakam kisah, pengalaman dan warisan yang mencerminkan identiti unik sesuatu masyarakat.

Kedua-dua inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Perpaduan Negara untuk memperkukuh hubungan antara rakyat dengan sejarah dan warisan negara.

Program Arkib@Sekolah dapat membentuk generasi yang lebih berpengetahuan, berjati diri dan bertanggungjawab terhadap masa depan Malaysia.

Dengan mendekatkan arkib kepada rakyat sama ada di sekolah mahupun di kampung Arkib@Sekolah dan Arkib Komuniti menjadi pemangkin kepada generasi yang lebih berpengetahuan, berjati diri dan bertanggungjawab terhadap masa depan Malaysia yang bersatu dan berdaulat.

Pelaksanaan kedua-dua inisiatif itu juga selari dengan gagasan Malaysia MADANI, khususnya dalam dimensi nilai, keterangkuman, dan kesejahteraan.

Melalui pendekatan yang menekankan akses kepada ilmu, penglibatan komuniti, dan pemeliharaan warisan bersama, Arkib@Sekolah dan Arkib Komuniti menyumbang secara langsung kepada pembentukan masyarakat yang berpengetahuan, berbudaya dan berintegriti tinggi.

Ia turut mengangkat prinsip MADANI dalam membina rakyat yang berakar pada sejarah, bersatu dalam kepelbagaian dan bertanggungjawab terhadap masa depan negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button