Berita Semasa

Kementerian Perpaduan Negara anjur FoodUnites di Tebingan Kuching

PUTRAJAYA – Pelbagai jenis makanan tradisional masyarakat Sarawak dan makanan warisan Malaysia akan memeriahkan program FoodUnites anjuran Kementerian Perpaduan Negara (KPN) yang bakal berlangsung di Tebingan Kuching, Sarawak pada 3 hingga 4 Februari ini.

Program yang bertujuan menghidupkan semula dan mengekalkan makanan warisan sebagai simboleh perpaduan negara itu akan dirasmikan oleh Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.

Selain itu, inisiatif KPN ini juga diharap dapat memperkenalkan generasi muda dengan makanan-makanan tradisi yang semakin sukar diperolehi.

“FoodUnites bukan sekadar festival makanan, tetapi juga sebuah perhimpunan budaya yang merentasi waktu, membawa kehidupan kepada cerita-cerita di sebalik setiap hidangan dan mengajak masyarakat menghargai kekayaan hidangan yang menjadi warisan kita.

“Mari bersama-sama menjelajah dan merasai keunikan Malaysia melalui program FoodUnites dengan menjadikan makanan sebagai jambatan perpaduan di tengah-tengah kepelbagaian asal kita,” kata KPN dalam kenyataan hari ini.

Menurut KPN, penganjuran program itu diharap menjadi satu lagi platform yang memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia dengan menghargai kepelbagaian budaya dan tradisi setiap kaum.

Katanya, dalam usaha menarik minat generasi muda, penganjuran program seumpama itu pasti menepati objektifnya.

Program ini akan menampilkan hidangan Laksa Sarawak sebagai makanan utama, enam jenis makanan tradisi yang mewakili setiap kaum antaranya Nasi Lemak, Char Kuey Teow, Nasi Briyani, Latok, Ayam Pansuh, dan Kek Lapis.

Pelbagai aktiviti menarik turut disajikan kepada pengunjung, termasuk zumba, permainan tradisional, cabutan bertuah, persembahanan kesenian dan kebudayaan, pameran dan banyak lagi.

“Jangan lepaskan peluang untuk hadir ke program ini bersama-sama keluarga dan sahabat handai, masuk adalah percuma! bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam pada 3 dan 4 Februari ini.

“Info lanjut boleh didapati di laman facebook Kementerian Perpaduan Negara,” menurut kenyataan itu lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button