Berita SemasaPM X

Kementerian Ekonomi diminta beri perhatian 10 cadangan projek utama di Negeri Sembilan

SEREMBAN – Kementerian Ekonomi diminta untuk memberikan perhatian khusus kepada 10 cadangan projek keutamaan di Negeri Sembilan khususnya berkaitan projek tebatan banjir.

Arahan itu dikeluarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas beliau mempengerusikan Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Sembilan di Majlis Daerah Tampin semalam.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, salah satu perkara yang menarik perhatian beliau ialah keperluan segera dan mendesak untuk membina Hospital Tuanku Jaafar 2 di Seremban bagi menampung jumlah pesakit yang semakin meningkat.

“Justeru itu, saya telah meminta Ketua Setiausaha Negara untuk membawa cadangan ini ke Mesyuarat Jemaah Menteri minggu hadapan agar ia dapat ditelaah dan dipercepatkan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Turut hadir dalam mesyuarat itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta barisan kepemimpinan Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

Anwar berkata, mesyuarat tersebut berfungsi untuk menilai projek pembangunan negeri dan perancangan jangka panjang yang melibatkan aspek asas seperti pendidikan, kesihatan, jalan raya, tebatan banjir, pengurusan, alam sekitar dan sumber air.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut memberi penekanan bahawa setiap projek yang direncana perlu dilaksanakan dengan sinergi yang kukuh antara kementerian dan agensi berkaitan.

Tegas beliau, kerenah birokrasi yang boleh melambatkan pelaksanaan projek mesti diminimakan agar manfaatnya dapat dinikmati rakyat secepat mungkin.

“Saya yakin dengan perancangan yang teliti dan pelaksanaan yang berkesan, projek-projek ini akan memberi limpahan manfaat kepada warga Negeri Sembilan dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara,” ujarnya dalam kenyataan sama.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button