
Kementerian Digital sasar kerjasama dengan negeri lonjak teknologi tempatan
KUALA LUMPUR – Kementerian Digital komited memperkukuh kerjasama strategik dengan kerajaan-kerajaan negeri dalam usaha mempercepat transformasi digital negara.
Memterinya, Gobind Singh Deo berkata, inisiatif seperti yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Selangor menerusi agensinya SIDEC wajar dijadikan contoh kerana ia bukan sahaja menyokong inovasi teknologi peringkat akar umbi, malah turut membuka ruang kepada usahawan untuk mengembangkan idea ke peringkat global.
“Kita dapati banyak negeri sudah pun memulakan pelbagai inisiatif digital. Usaha ini perlu diselaraskan agar kita dapat mewujudkan ekosistem yang saling melengkapi, bukan bergerak secara berasingan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Twin Accelerator (Selangor Deep Tech Xccelerator dan Selangor Retail Tech Xccelerator) di Khazanah Auditorium, Asia School of Business (ASB) hari ini.
Beliau berkata, di peringkat nasional, agensi seperti MDEC dan SIDEC telah menunjukkan prestasi memberangsangkan, dan kementerian akan terus menggerakkan usaha untuk mempertemukan semua pemain utama industri, termasuk dari peringkat negeri, agar dapat mencapai penskalaan yang lebih meluas.
“Apabila semua inisiatif ini digabungkan dalam satu rangka kerja yang tersusun, kita bukan sahaja dapat menyambungkan lebih ramai rakyat kepada teknologi, malah dapat menjana manfaat ekonomi digital yang lebih besar,” katanya lagi.
Gobind turut berkata, pihaknya telah mengarahkan MDEC untuk terus berhubung dengan semua negeri bagi meneliti bentuk kerjasama dan kekuatan sedia ada di peringkat tempatan.
“Setiap negeri ada keistimewaan dan tumpuan masing-masing. Jika kita dapat menyatukan kekuatan ini di bawah satu platform nasional, kita akan dapat hasil yang jauh lebih kukuh dan berimpak tinggi,” katanya lagi.
Tambah beliau, negeri seperti Pulau Pinang, Sabah dan Selangor sudah menunjukkan komitmen tinggi terhadap pembangunan ekosistem digital, dan pendekatan inklusif ini akan terus diperluaskan ke seluruh negara.
“Kementerian tidak bercadang untuk membina semula apa yang sudah ada.
“Sebaliknya, kita akan manfaatkan sepenuhnya organisasi dan platform sedia ada. Perkara penting sekarang ialah menyatukan kekuatan itu dan bergerak ke hadapan dengan pantas,” katanya lagi.
Menurut Gobind, perkembangan teknologi digital yang pesat memerlukan tindakan segera dan tuntas daripada semua pihak, dan kerjasama antara kerajaan pusat dan negeri adalah kunci kepada kejayaan agenda digital negara.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |