BERITA SEMASA

Kementerian Digital rangka ‘way forward’ 2026, perkukuh agenda negara AI

KLANG – Kementerian Digital merumuskan hala tuju dan strategi komprehensif bagi memperkukuh agenda pendigitalan negara melalui penganjuran Program Pemantapan Strategi Kementerian Digital 2026.

Program yang berlangsung dari 14 hingga 16 November 2025 di Amverton Cove Golf & Island Resort, Pulau Carey itu diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Fabian Bigar.

Ia menghimpunkan barisan Pengurusan Tertinggi serta Ketua-Ketua Bahagian dan Unit bagi memuktamadkan ‘way forward’ kementerian untuk tahun 2026 selari dengan draf Pelan Strategik Kementerian Digital 2026–2030, keutamaan Rancangan Malaysia Ke-13 serta aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai Negara AI menjelang 2030.

Dalam kenyataannya, kementerian menegaskan bahawa program itu merupakan proses penting untuk memastikan hala tuju pendigitalan negara digerakkan dengan kejelasan dan kesepaduan.

“Program ini membolehkan seluruh kepimpinan kementerian menyelaras fokus, menyatukan strategi serta memperkukuh kesiapsiagaan organisasi bagi melaksanakan agenda pendigitalan 2026 dengan lebih terancang dan berimpak tinggi,” menurut kenyataan Kementerian Digital di media sosial.

Kementerian turut menjangkakan hasil rumusan strategik melalui program tersebut akan memperkemas tadbir urus digital kerajaan, meningkatkan penyelarasan sasaran kerja serta memperkukuh keberkesanan pelaksanaan inisiatif digital merentasi semua bahagian dan unit.

“Sepanjang tiga hari penganjuran, pelbagai sesi perbincangan mendalam, bengkel perancangan dan taklimat teknikal diadakan bagi memastikan penyepaduan hala tuju kementerian dirangka secara holistik.

“Pendekatan bersepadu ini dijangka memperkukuh sinergi dalaman serta memastikan perancangan tahun 2026 dilaksanakan secara lebih komprehensif dan selaras dengan keperluan semasa negara,” tambah kenyataan tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button