
Krisis sempadan: Kemboja gantung import tenaga dari Thailand
PHNOM PENH – Kemboja menggantung serta-merta semua import bahan api dan gas dari Thailand susulan ketegangan yang terus memuncak di kawasan sempadan kedua-dua negara.
Perdana Menteri, Hun Manet berkata, keputusan itu dibuat selepas insiden tembakan di kawasan Segi Tiga Zamrud pada Mei yang meragut nyawa seorang anggota tentera Kemboja.
“Mulai tengah malam ini, semua import bahan api dan gas dari Thailand dihentikan.
“Bekalan domestik akan disalurkan menerusi laluan alternatif bagi memastikan keperluan pengguna terus dipenuhi,” katanya dalam satu kenyataan.
Langkah itu diambil selepas Bangkok menutup beberapa pos kawalan sempadan atas alasan keselamatan, sebelum Phnom Penh bertindak balas dengan menutup dua lintasan utama semalam.
Ekoran ketegangan tersebut, Kementerian Luar Kemboja menasihatkan rakyatnya agar menangguhkan perjalanan ke Thailand.
Dalam perkembangan berkaitan, Thailand turut mengingatkan warganya di Kemboja supaya mengelak daripada kawasan yang berpotensi mencetuskan kekacauan.
Pergolakan itu mengheret krisis politik di Bangkok apabila kebocoran perbualan sulit antara pemimpin tertinggi mencetuskan tekanan terhadap Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra.
Ketegangan semakin ketara apabila parti utama dalam gabungan pemerintah bertindak menarik sokongan awal minggu ini.
Thailand merupakan antara rakan dagang utama Kemboja, dengan nilai import mencecah AS$3.8 bilion (RM16.3 bilion) pada 2022.
Bahan api menyumbang lebih 27 peratus daripada jumlah tersebut.
Dalam kenyataan berasingan, Kementerian Pertahanan Kemboja menuduh tentera Thailand melanggar perjanjian dua hala apabila didakwa mengiringi lebih 150 penunggang basikal ke lokasi berhampiran kuil yang masih menjadi titik pertikaian sempadan.
Namun, pihak tentera Thailand menolak dakwaan itu dan menyifatkan ia sebagai salah faham di lapangan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |