Berita Semasa

Kembara Perpaduan Malaysia Madani utuhkan keharmonian negara

KUALA LUMPUR – Usaha mewujudkan perpaduan yang utuh dalam kalangan rakyat di negara ini dilihat boleh dicapai melalui Program Kembara Perpaduan Malaysia Madani yang dianjurkan oleh kerajaan di bawah Ikhtiar 11 Belanjawan 2023.

Menurut Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, program berkenaan merupakan salah satu usaha kerajaan dalam membangunkan negara melalui konsep Malaysia Madani.

Katanya, melalui program tersebut juga, masyarakat akan lebih cakna dan memahami konsep Madani yang ditekankan oleh kerajaan.

“Kembara Perpaduan Malaysia Madani memayungi tiga kluster program melalui penglibatan dan kerjasama semua pihak termasuk pemimpin, agensi kerajaan, pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Civil Society Organisation (CSO) dan masyarakat.

“Kluster pertama membabitkan Program Semarak Kenegaraan iaitu program yang memupuk semangat kekitaan dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat melalui usaha memasyarakatkan Rukun Negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Aaron telah melancarkan Program Kembara Perpaduan Malaysia Madani di Dataran Muzium Negara, di sini, hari ini.

Selain itu, kluster kedua pula, melibatkan Program Semarak Perpaduan yang bertujuan untuk memupuk perpaduan dalam pelbagai aspek seperti pendidikan, bahasa dan jurang antara generasi.

Dalam pada itu, Program Komuniti Rahmah juga dilaksanakan bagi memberi memberi fokus kepada pembinaan komuniti yang harmoni.

“Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Jabatan Muzium Malaysia (JMM), Arkib Negara Malaysia (ANM), Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS), Yayasan Tunku Abdul Rahman (YTAR) dan Yayasan Tun Razak (YTR) juga terbabit dalam melaksanakan program berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, penyertaan jentera perpaduan khususnya Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Skim Rondaan Sukarela, Sekretariat Rukun Negara, Kelab Rukun Negara, Jawatankuasa Penyelaras Tabika Perpaduan dan NGO Rakan Perpaduan (Friends of Unity) juga akan membantu dalam menjayakan aktiviti berkaitan.

“Pelaksanaan semua program berkenaan akan menggunakan pendekatan kerajaan secara menyeluruh iaitu kerjasama antara agensi kerajaan merentasi sempadan portfolio organisasi dengan berkongsi tindakan untuk mencapai matlamat pembangunan Malaysia Madani.

“Program itu membawa impak yang besar kepada seluruh lapisan masyarakat dengan pelbagai pengisian program yang dapat memperkukuh jalinan muhibbah dan ikatan perpaduan masyarakat majmuk di Malaysia,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button